Tuesday, March 16, 2010

MPP USIM 2009/2010 JANJI BERI KHIDMAT TERBAIK

Bandar Baru Nilai, 9 Februari 2010 – Bertunjangkan frasa ‘Memacu ke Arah Mahasiswa Holistik, Dinamik dan Matang” menjadi visi utama barisan kepimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk sesi 2009/2010 yang terkandung dalam ucapan dasar YDP MPP dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP USIM.

Berpaksikan kepada slogan MPP “Synergic, Responsive, Concern”, MPP USIM pada sesi kali ini telah menggariskan 4 misi utama dalam menterjemahkan teras kepimpinan mereka. Misi tersebut meliputi Kecemerlangan Ilmu dan Pembangunan Sahsiah Diri, Cakna Kebajikan Mahasiswa, Kepimpinan Melalui Teladan dan budaya inovasi dan Pengantarabangsaan.

Menurut Yang Dipertua MPP USIM Sesi 2009/2010, Saudara Muhammad Hilmi Juhari, bagi memastikan kecemerlangan ilmu dan pembangunan sahsiah diri dapat dihayati oleh mahasiswa USIM, MPP USIM komited menekankan budaya ilmu dalam membantu pihak universiti untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang secara holistik.

“Justeru, kami berhasrat untuk membudayakan intelektual mahasiswa USIM melalui seminar, konvensyen, diskusi ilmiah dan sebagainya agar dapat membuka kerangka pemikiran mahasiswa USIM ke arah mendepani isu semasa”, kata Muhammad Hilmi sewaktu menyampaikan ucapan dasar Yang Dipertua sempena Majlis Penyampaian Watikah MPP USIM sesi 2009/2010 di sini hari ini.

Dalam usaha untuk membudayakan Inovasi dan Pengantarabangsaan, barisan kepimpinan USIM tekad menyahut hasrat dan seruan kerajaan untuk memastikan peranan utama mahasiswa dalam melahirkan idea yang kreatif dan kritis dalam mencipta inovasi baru.

“Cabaran pengurangan bajet bukanlah menjadi halangan dan kekangan untuk kita melaksanakan misi inovasi dan pengantarabangsaan untuk terus maju ke hadapan”, tambah beliau lagi.

Muhammad Hilmi tidak meletakkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua MPP sebagai satu keistimewaan. Sebaliknya beliau menganggap ianya sebagai satu cabaran dan kewajipan yang wajib dilaksanakan dengan jujur dan amanah.

“Kepimpinan yang bersandarkan kepada teladan ataupun qudwah hasanah, akan menatijahkan perancangan, pengurusan dan output yang berkesan, kata beliau.

Bagi memantapkan agenda dan memacu visi MPP ini, beliau turut menamakan 5 ahli Majlis Tertinggi yang terdiri daripada Saudara Abdullah Long sebagai Naib Yang dipertua 1, Saudari Akalili Zubair sebagai Naib Yang dipertua 2, Saudara Mohd Hazimin Harun dipilih sebagai Setiausaha Agung, Bendahari pula telah diamanahkan kepada Saudara Muhammad Tobrani Mohammad Yusof.

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USIM telah diadakan pada 21 Januari 2010 yang lalu. Sebanyak 24 kerusi dipertandingkan. Seramai 39 calon bertanding di mana 24 calon bertanding untuk merebut 16 kerusi Kawasan Fakulti dan 15 orang calon bertanding untuk merebut 8 kerusi Kawasan Umum. Seramai 4360 pelajar keluar mengundi pada tahun ini menjadikan peratus kehadiran sebanyak 91.06%. Seperti tahun sebelumnya, USIM terus melaksanakan pemilihan MPP secara on-line melalui sistem e-UNDI. Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2006.

Majlis Penyampaian Watikah diakhiri dengan penyerahan tugas oleh saudara Muhammad Alif Ismail, Mantan Yang Dipertua MPP USIM kepada saudara Muhammad Hilmi Juhari sebagai simbolik pertukaran pucuk pimpinan baru barisan kepimpinan pelajar.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028





Friday, February 26, 2010

10,000 KUNJUNGI KARNIVAL ‘JOM MASUK U’

Bandar Baru Nilai, 7 Februari 2010 – 10,000 pengunjung membanjiri Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan untuk menyertai Karnival Pengajian Tinggi Negara atau lebih dikenali sebagai Karnival Jom Masuk U 2010 Zon 4 meliputi Negeri Sembilan dan Melaka.


Program yang berlangsung selama dua hari bermula 6 dan 7 Februari 2010 dari jam 9 pagi hingga 6 petang mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar-pelajar sekolah termasuk calon PMR, SPM, STPM, STAM, ibu bapa, guru-guru, kaunselor dan masyarakat setempat yang turut sama memeriahkan karnival ini.

Program ini dianjurkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan telah sampai di zon 4 selepas menjelajah tiga buah negeri iaitu Johor, Selangor dan Sabah. Selepas ini Karnival Jom Masuk U akan terbang ke Sarawak yang akan berlangsung di Permata Exhibition Centre pada 20 hingga 21 Februari 2010.

Sebanyak 104 booth pameran mengambil bahagian yang terdiri daripada 20 IPTA, IPTS, Agensi Kerajaan seperti Perbadanan Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Instiusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan banyak lagi.

Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda berkesempatan meluangkan masa melawat booth pameran karnival berkata “penganjuran karnival seperti ini memberi impak yang positif dalam memberi motivasi dan menambah minat pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat IPT”.

“Selain mendapat maklumat terkini tentang kemasukan ke IPT, pengunjung juga dapat mendapat informasi terus mengenai kursus, program, penajaan dan khidmat nasihat daripada urusetia IPT dan Agensi kerajaan yang terlibat”, katanya.

Disamping itu juga, sebanyak 113 sekolah sekitar Negeri Sembilan dan Melaka terlibat dalam program taklimat pelajar yang disampaikan oleh 20 IPTA yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat, USIM. Program ini lebih menumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar untuk memberi pendedahan pendidikan pengajian tinggi kepada mereka.

Menurut salah seorang pengunjung karnival iaitu Bavaani A/P Anbalacan pelajar tingkatan 5 SMK Serting Hilir Kompleks, Negeri Sembilan berkata “ program ini sangat menarik dan membolehkan saya merancang masa depan serta meninjau kursus yang bersesuaian dengan minat saya antaranya di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia”.

Selain itu, pelajar SMK Tinggi Perempuan Melaka Nadhrah Izzati Ismail berkata, maklumat yang diperoleh di karnival seperti itu dapat membuka minda dan menetapkan hala tuju dalam mengikuti bidang pengajian yang akan dipilih oleh beliau nanti.

Sementara itu, seorang guru dari Seremban, Puan Jamaliah Hashim, mengambil kesempatan hujung minggu menngunjungi karnival itu untuk meninjau program-program matrikulasi yang ditawarkan oleh IPT disamping program Sarjana untuk dirinya sendiri.

Oleh :
Mohd Hariri Hj Mohamad Daud
Penolong Pendaftar
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058

PELANCARAN BUKU MELAKAR JEJAK-BIOGRAFI MOHD YUSOF NOOR

Kuala Lumpur, 5 Februari 2010 - Buat julung-julung kalinya penerbitan biografi Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dibukukan dan dilancarkan pada 5 Februari 2010 bertempat di Dewan Perdana Felda. Majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim melahirkan rasa bangga terhadap Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dan melabelkannya sebagai tokoh yang sentiasa berpandangan jauh dan mempunyai wawasan serta daya optimisme yang tinggi.

Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam pentas politik dan banyak pembaharuan yang telah dilakukan mewarnai wajah Malaysia kini. Antaranya adalah seperti penubuhan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan idea mewujudkan dan mencipta Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Lagu Maal Hijrah.

Peranan beliau dalam mengukuhkan identiti Islam serta penubuhan Planetarium Kuala Lumpur merupakan jasa dan sumbangan beliau yang akan terus tercatat dalam rakaman sejarah pembangunan Malaysia.

Mendapat pendidikan awal dalam Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaysia dan mengambil Diploma Kepakaran Pendidikan Universiti ‘Ain Shams. Kemudian menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Al-Azhar dan seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Falsafah, Universiti Kaherah, Mesir.

Kejayaan beliau membangunkan FELDA dalam bidang korporat telah membuktikan bagaimana beliau mampu membina empayar perniagaan untuk masyarakat FELDA yang pada masa dahulu dipinggirkan dan kini bertukar menjadi hamparan sawit yang penuh dengan limpahan rahmat dan rezeki orang FELDA.

Sejajar dengan dirinya yang menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sumbangan dalam bidang keagamaan diteruskan menerusi akademik bagi melahirkan pelajar yang mampu menjadi tokoh hebat serta mampu menjadi teladan kepada masyarakat berbilang kaum kerana universiti adalah platform yang cukup baik dalam melahirkan pakar dan tokoh dalam pelbagai bidang termasuk keagamaan.

Terbitnya buku biografi sebegini, memberi makna yang sangat mendalam kepada industri penerbitan buku negara. Ianya akan menjadi platform untuk merakamkan pengalaman, suka duka yang ditempuhi sepanjang rentetan masa dan mambawa generasi masakini untuk merenungi dan mencontohi segala semangat yang ada.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058





Sunday, February 14, 2010

KEM GEMILANG FSU JANA PELAJAR TERBILANG

Bandar Baru Nilai, 4 Februari 2010 - “Menyalahkan orang lain tidak dapat menyelesaikan masalah. Jangan mencari siapa yang salah sebaliknya selidik apa yang salah dan perbetulkan untuk kebaikan bersama” ucap Y.Bhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Pengarah Urusan dan Perunding Utama Excel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd.

”Kenali kehebatan dan potensi diri sendiri untuk tampil yakin di hadapan umum dan cari kemahiran diri yang boleh dibanggakan” tambah beliau semasa memberi ceramah kepada pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kem Gemilang FSU 2010.

Hampir 500 pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM menyertai Kem ini yang bertemakan ‘Mengangkasa Kecemerlangan Diri untuk Menjana Pelajar Terbilang’. Kem ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Bachok M. Taib, Pemangku Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa mewakili Naib Canselor USIM.

Antara kandungan kursus sepanjang kem ini berlangsung adalah seperti penganalisisan kendiri, teknik belajar di IPT, komunikasi pembelajaran di IPT, memperseimbangkan penghidupan di IPT dan rangka tindakan merealisasikan kecemerlangan di IPT.

Menurut Y.Bhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, berdasarkan kajian terdapat beberapa masalah yang menjadi punca pelajar tidak dapat memberikan tumpuan yang baik dalam pelajaran sekaligus tidak dapat mempamerkan kejayaan yang cemerlang. Ianya berpunca dari perasaan rendah diri dalam diri setiap pelajar. Kebanyakan pelajar mudah mengkagumi kehebatan orang lain sehinggakan tidak sedar dengan kehebatan dan kebolehan diri sendiri.

Beliau menambah, tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan sekiranya tidak berusaha. Sekiranya gagal untuk membangunkan diri, berubahlah dan bersedia untuk diubah oleh orang lain.

“Sentiasa yakin dengan kebolehan diri sendiri. Berusaha, berdoa dengan yakin dan beristiqamah, Insya Allah akan dipermudahkan oleh Allah”, tambah beliau lagi.

Muhamad Khairil Kamarudin, 22, pelajar tahun 3 Jurusan Syariah dan Undang-Undang berkata, “Kursus sebegini bagus untuk memberi motivasi dan meningkatkan semangat di kalangan pelajar. Banyak tips-tips yang berguna diberikan untuk memajukan diri dalam mencapai kejayaan”.

Sementara itu, Nur Afiqah Norman, 21 , berharap kursus seperti ini dapat membuka minda pelajar disamping dapat mengenali diiri sendiri dan berusaha untuk berubah dan lebih cemerlang di masa hadapan.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028






Friday, February 12, 2010

KEMPEN KESEDARAN KANSER PAYUDARA DAPAT SAMBUTAN

Bandar Baru Nilai, 20 Januari 2010 – Kempen Kesedaran Kanser Payudara anjuran Yayasan Pink Ribbon Deeds (PRIDE) yang diadakan di Kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat sambutan yang menggalakkan. Program ini merupakan anjuran PRIDE dengan kerjasama USIM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Penasihat Yayasan PRIDE, Puan Nasirah Aris berkata kempen sehari itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya kanser payu dara kepada semua golongan terutama wanita.

Beliau berkata, PRIDE memberi tumpuan dan tunjuk ajar yang lebih kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) melalui pemeriksaan payudara sendiri kerana ingin memberi kesedaran bahawa kanser payudara tidak mengenal usia samada tua ataupun muda.

“Justeru itu, pentingnya rawatan dan pencegahan awal melalui pemeriksaan sendiri. Diingatkan juga kepada golongan lelaki bahawa mereka juga berisiko mendapat kanser payu dara walaupun bilangannya sedikit berbanding golongan wanita”, katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

Menurut Puan Nasirah Aris, kempen ini merupakan salah satu program yang dirancang oleh PRIDE bagi tahun 2009/2010. Selain itu pelbagai program lain seperti ‘Sale with PRIDE’, ‘Climb with Pride’ dan pelbagai lagi aktiviti dirancang untuk pesakit kanser payudara.

Hampir 500 pelajar IPTA dan IPTS menghadiri kempen ini. Antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Kejururawatan Murni dan Kolej Komuniti Jelebu.

Antara pengisian program ini adalah Ceramah Kesedaran Kanser Payudara oleh Dr. Siti Rokiah Kamarudin, Pakar Perubatan Keluarga LPPKN, Negeri Sembilan dan ceramah pemakanan sihat oleh Puan Nor Zariah Yusof, Pegawai Dietitik, Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

Turut diadakan saringan kesihatan percuma seperti pemeriksaan BMI dan tekanan darah, pendaftaran subsidi mammogram oleh LPPKN, pemeriksaan percuma klinikal payudara dan pameran kanser payudara.

Program ini telah dirasmikan oleh Puan Rezki Perdani Sawai, Pengetua Kolej Kediaman Camelia Court USIM mewakili Naib Canselor USIM. Turut hadir, Puan Suriani Buang, Pengarah LPPKN, Negeri Sembilan.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT USIM
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : O6-7988025/8026/8027/8028/8058





Thursday, February 11, 2010

TUANKU CANSELOR SERU WARGA USIM LEBIH PRODUKTIF

Tuanku Canselor menyeru agar warga USIM lebih produktif dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk menjadikan USIM sebagai universiti kelas pertama.

“Beta berharap USIM akan sentiasa maju berteraskan misi dan visi yang digalas oleh tampuk pimpinan yang baru,” titah baginda semasa pertemuan dengan Pengurusan Tertinggi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 5 Januari 2010 yang lalu di Istana Salatin, Seremban, Negeri Sembilan.

Tuanku Canselor turut mengharapkan agar USIM menjadi institusi ilmu terkemuka selain muncul sebagai sumber rujukan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam yang tinggi.

Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi itu, bertujuan untuk memperkenalkan Naib Canselor USIM yang baru, yang diterajui oleh Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda dan memaklumkan persaraan Naib Canselor USIM yang pertama, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda turut memaklumkan perkembangan terbaru mengenai USIM, termasuk bilangan jumlah pelajar, kakitangan akademik serta pentadbiran. Disamping itu, beliau menyambut baik ucapan titah Tuanku Canselor dan beriltizam untuk memacu USIM sebagai sebuah institusi pendidikan bertaraf dunia.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Maha Mulia Tuanku Canselor di atas kepercayaan yang tinggi terhadap beliau dalam mentadbir USIM selama 10 tahun.

Turut hadir di majlis itu ialah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Pendaftar, En. Muhammad Haizuan Rozali, Pemangku Bendahari, En Zairul Hisham Ahmad Khulaimi, Ketua Pustakawan, En. Jasmin Jaimon, Pengarah Pembangunan, Ir. Daim Saian dan Pegawai Perhubungan Awam, Pn. Yusrina Mohd Yunus.


Oleh :
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT USIM
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058






PEMILIHAN MPP USIM LANCAR

Bandar Baru Nilai, 21 Januari 2010 – Bahang Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masih lagi terasa dikalangan warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Proses pemilihan yang berlangsung seawal 8.30 pagi hingga 4.30 petang berjalan dengan teratur dan aman.

Sebanyak 24 kerusi dipertandingkan pada tahun ini. Seramai 39 calon bertanding di mana 24 calon bertanding untuk merebut 16 kerusi Kawasan Fakulti dan 15 orang calon bertanding untuk merebut 8 kerusi Kawasan Umum.

Seramai 4360 pelajar keluar mengundi pada tahun ini menjadikan peratus kehadiran sebanyak 91.06%. Dua fakulti menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Saudara Muhammad Hilmi Juhari, Pelajar tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Muamalat jurusan Perakaunan meraih undian tertinggi untuk kawasan Umum. Beliau melahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T atas kejayaan yang telah dikecapi.

“Saya berharap agar USIM lebih menyerlah dan menonjol pada masa hadapan dan menjadi pesaing kepada universiti-universiti yang lain serta menjadi rujukan dan tauladan kepada masyarakat umum”, tambah beliau lagi.

Fakulti Pergigian (Fpg) telah dianugerahkan sijil penghargaan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 100% pelajar keluar mengundi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM atas semangat yang prihatin serta cakna dengan perkembangan dan kemajuan Universiti.

Seperti tahun sebelumnya, USIM terus melaksanakan pemilihan MPP secara on-line melalui sistem e-UNDI. Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2006. Ia merupakan satu sistem yang telah diuji dan terbukti selamat dan boleh diyakini. Ini kerana sistem ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang utuh. Penggunaan Sistem e-UNDI USIM ini juga telah terbukti mampu mempercepatkan urusan penjumlahan undi dan boleh mendapat keputusan dengan lebih cepat.

Keputusan undian telah diumumkan oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM. Beliau berharap mereka yang dipilih dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berupaya membawa ummah dan negara ke tahap kemajuan yang tinggi, sehingga dihormati dan dipandang mulia.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058





Monday, February 1, 2010

PERMATA INSAN USIM ANJUR UJIAN KECERDASAN MINDA KANAK-KANAK

Bandar Baru Nilai, 16 Januari 2010 – Pepatah Melayu ada mengungkapkan “Melentur buluh biar dari rebungnya” sekaligus mengingatkan kita betapa pentingnya untuk mendidik kanak-kanak sebagai khazanah modal insan tidak ternilai. Idea bernas Datin Seri Rosmah Mansor memperkenalkan Pusat Permata Negara memberi anjakan paradigma dalam pembangunan minda kelas pertama masyarakat Malaysia di atas slogan “Setiap Anak Permata Negara”.

Justeru, satu program yang diberi nama Permata Insan dibangunkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khusus untuk melahirkan kanak-kanak pintar yang mampu menjadi teknokrat yang bukan sahaja dilengkapi dengan ilmu profesional tetapi juga dengan ilmu agama.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu ujian Kecerdasan Minda Kanak-kanak telah dianjurkan di bawah Program Permata Insan USIM dengan kerjasama Badan Kebajikan Kakitangan USIM (BKKUSIM) bertempat di Makmal Komputer, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Ujian kecerdasan ini terbuka kepada semua anak-anak kakitangan USIM.

Hampir 100 orang kanak-kanak berumur dalam lingkungan 6 hingga 12 tahun mendaftar untuk ujian ini. Ujian kecerdasan ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu ujian berkomputer (IQ test) dan ujian bertulis (Kecenderungan Agama). Bagi ujian berkomputer, USIM telah mendapat kerjasama daripada Program Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana USIM mengguna pakai modul berkomputer dari UKM.

Menurut En. Nik Amin Nik Man, Pegawai Permata Insan USIM, tujuan ujian kecerdasan minda kanak-kanak ini diadakan adalah untuk membantu ibu bapa mengetahui tahap pencapaian anak mereka dari segi pembangunan mental dan fizikal.

Program ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Bachok M. Taib, Dekan Pusat Pengajian Siswazah mewakili Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM. Dalam ucapannya, beliau berharap agar program sebegini dapat melahirkan teknokrat Islam yang mampu menjadi modal insan dan model kepada umat sejagat.

“Universiti akan terus menyokong semua bentuk kerja sama yang mendatangkan manfaat kepada pelajar, masyarakat setempat dan ummah keseluruhannya", tambah beliau lagi.

Program Permata Insan ini bermula apabila pihak USIM bersetuju menerima tawaran dari Kerajaan untuk melaksanakan program ini. Justeru, pihak Universiti telah memberikan kepercayaan kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang berkaitan, dengan melibatkan kakitangan akademik, pengurusan dan profesional, serta sokongan. Ianya merupakan kolaborasi menyeluruh universiti dan mendapat sokongan padu daripada pengurusan tertinggi.

Antara objektif program ini adalah untuk mengenal pasti pelajar pintar seawal mungkin supaya potensi dan kebolehan mereka dapat dibangunkan secara menyeluruh ke tahap yang optimum. Ianya juga bertujuan untuk menyedia dan membangunkan sistem sokongan bagi membantu perkembangan holistik pelajar PERMATA.


Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058

Sunday, January 31, 2010

ANUGERAH KECEMERLANGAN SISWA TINGKAT MOTIVASI PELAJAR

Sepang, 8 Januari 2010 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat kali keduanya telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM 2009 bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA.

Majlis tersebut merupakan malam kemuncak pengiktirafan pencapaian dan sumbangan kepada pelajar USIM diatas kecemerlangan yang telah dicapai. Usaha ini dilihat dapat meningkatkan minat serta menambahkan softskills dikalangan pelajar melalui penglibatan di dalam program-program pembangunan sahsiah dan seterusnya menghargai sumbangan dan ketokohan mereka.

Sebanyak 10 anugerah yang terdiri daripada 15 kategori telah dianugerahkan kepada pelajar/kumpulan/pasukan/badan pelajar yang dicalonkan berdasarkan sistem merit yang dibangunkan. Anugerah –anugerah itu antaranya ialah Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Cemerlang Sukan, Anugerah Cemerlang Seni, Anugerah Cemerlang Kepimpinan, Anugerah Perdana Siswa, Anugerah Khas HEP dan beberapa anugerah lagi.

Antara objektif majlis ini adalah menghargai sumbangan dan pencapaian para pelajar dalam program-program kemahasiswaan di samping menjadi tanda aras kepada penambahbaikan program-program kemahasiswaan. Selain itu menarik minat lebih ramai pelajar untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan sahsiah.

Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dalam ucapannya menyatakan, majlis seumpama ini adalah satu budaya yang patut diteruskan bagi meningkatkan motivasi dalam diri pelajar serta meningkatkan semangat berpersatuan di kalangan mereka. Di samping itu, ia juga memperlihatkan bahawa pihak pengurusan universiti menerusi Bahagain HEP sentiasa member sokongan dan menghargai sumbangan para pelajar yang aktif dan berbakat dalam mengendalikan pelbagai program sama ada di peringkat universiti, komuniti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Tambah beliau, “7 aspek Kemahiran Insaniah yang akhirnya akan membentuk para pelajar menjadi seorang individu yang berpersonaliti unggul iaitu komunikasi, kepimpinan, kerja berkumpulan, pemikiran kritis, nilai dan etika, pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan”.

Dalam majlis ini, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang Saudara Mohd Razlan Ahmad dan Saudari Nurul Hayati Chamhuri dari Fakulti Perubatan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Sisiwa serta Anugerah Perdana Siswi. Masing-masing menerima wang tunai RM 300, trofi dan sijil penghargaan. Urusetia Sukan & Rekreasi pula dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Emas yang mengalahkan 20 persatuan pelajar lain serta menerima sebuah notebook, trofi dan sijil penghargaan.

Mantan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas HEP sebagai penghargaan diatas jasa dan bakti beliau dalam memberi sokongan padu kepada kecemerlangan aktiviti pelajar.

Mohd Razlan berkata, “di antara krateria yang membolehkan pelajar menerima anugerah yang dipertandingkan ini ialah aktif dalam ko-kurikulum dan cemerlang dalam akademik. Secara tidak langsung AKSIS telah menjadi batu loncatan untuk pelajar terus meneroka kegemilangan buat universiti”.

“ Saya sudah 4 tahun di USIM dan tahun ini adalah tahun terakhir sebelum saya tamat pengajian ijazah sarjana muda. Jesteru, anugerah ini adalah kemuncak segala jerih payah saya selepas aktif melibatkan diri dalam aktiviti persatuan untuk menaikan nama baik USIM” katanya.

Oleh :
Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058





Friday, January 29, 2010

JPS NEGERI SEMBILAN KONGSI AMALAN 5'S DI USIM

Nilai, 12 Januari 2010 – Seramai 25 kakitangan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari seluruh daerah Negeri Sembilan seperti daerah Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Port Dickson, Tampin dan Rembau mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Puan Roslinda Abdullah, Penolong Pembantu Teknik Kanan JPS Daerah Seremban, Negeri Sembilan telah mengetuai lawatan ini. Menurut beliau tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai amalan 5’s di USIM.

Program 5’s dipopularkan dan dipraktikkan di negara Jepun. Ia begitu popular pada masa kini sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Amalan 5’s merupakan pendekatan yang berkesan untuk motivasikan pekerja, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa. 5’s dalam bahasa melayu bermaksud sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal.

Menurut, En. Mohd Salehudin Sukor, Penolong Pendaftar Unit Pengurusan Kualiti selaku Penyelaras 5’s, hampir 2 tahun amalan 5’s diaplikasikan di USIM. Untuk permulaan USIM telah mendapat khidmat nasihat dari Syarikat Integrated Kaizen dan pada 27 Mei 2007 USIM telah melancarkan amalan 5’s di peringkat USIM.

“Sehingga kini kami meneruskan amalan 5’s dengan membuat audit jabatan setiap bulan bagi memastikan semua warga USIM sentiasa mengamalkan pendekatan 5’s”, tambah beliau lagi.

“Untuk memastikan amalan 5’s berterusan di kalangan warga USIM, Unit Pengurusan Kualiti telah menganjurkan pertandingan jabatan cemerlang yang akan diumumkan pada setiap bulan di Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan USIM”, kata beliau semasa menyampaikan taklimat mengenai 5’s.

Turut diadakan sesi lawatan ke Jabatan Pendaftar, Bendahari dan Canselori supaya mereka lebih memahami pendekatan amalan 5’s untuk diaplikasikan di tempat kerja mereka.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058

USIM JALINKAN KERJASAMA DENGAN MENTERI MENTOR

Putrajaya, 7 Januari 2010 – Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah melantik Menteri Kabinet sebagai Menteri Mentor bagi semua 20 IPTA untuk merapatkan lagi hubungan baik Universiti dan Menteri Kabinet. Peranan Menteri Mentor menjadi satu anjakan paradigma baru dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi membangun kualiti pengajian tinggi khususnya di IPTA.


Saranan dan hasrat ini disambut baik oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengadakan pertemuan dengan Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom selaku Menteri Mentor USIM.

Pertemuan yang diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihadiri oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda serta Ahli Majlis Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia. Turut hadir dalam pertemuan ini Setiausaha Politik Y.B Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Y.B Haji Sahbudin bin Haji Yahaya.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda berkata, pertemuan ini diatur untuk membolehkan USIM beramah mesra dengan Menteri Mentor sekali gus membentangkan Key Result Areas (KRAs) dan aktiviti yang akan dijalankan di USIM sepanjang tahun 2010.

Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom dalam ucapannya berkata, beliau menyambut baik peranan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan bersedia untuk membantu serta memberi idea kepada pembangunan fizikal dan intelektual di USIM.

Menurutnya, “USIM berpotensi besar dalam melahirkan pendakwah dan tokoh agama berwibawa untuk merancakkan arena dakwah di Malaysia khususnya. Permintaan tenaga kerja yang berlatarbelakang pengajian Islam sangat diperlukan di Malaysia seperti di institusi perbankan, kewangan Islam dan institusi dakwah”.

Selain itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pemimpin mahasiswa dan seluruh mahasiswa USIM disamping beramah mesra dengan mereka.

Tambah beliau “Alam mahasiswa adalah alam yang penuh dengan cabaran untuk meningkatkan daya fikir intelektual, mencari identiti diri dan merencana masa depan. Justeru, pegangan agama dan jati diri menjadi benteng ampuh dari pelbagai cabaran dunia tanpa sempadan”.

USIM juga telah mengatur beberapa program dan aktiviti bersama Menteri Mentor yang turut melibatkan pelajar dan kakitangan USIM seperti Perhimpunan bulanan USIM, sambutan 10 Tahun USIM, Sambutan Maulidur Rasul dan banyak lagi.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad daud
Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam
hariri@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Thursday, January 14, 2010

TAHUN 2010 : MEMARTABATKAN CITRA USIM

Bandar Baru Nilai, 4 Januari 2010 – ”Memimpin USIM memasuki dekad kedua adalah satu amanah besar. Saya mengharapkan sokongan seluruh warga USIM khususnya Y.Bhg. Mantan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin”, ungkap Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda di Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor USIM 2010 disini hari ini.

Dalam ucapannya beliau menyeru agar semua warga USIM bersatu padu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan membangunkan Universiti dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur dan bersungguh-sungguh.

Beliau menekankan tentang 6 perkara yang merupakan penumpuan NKRA USIM iaitu menghasilkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi, program yang diiktiraf dan tersohor didalam dan luar negara, membangunkan cendekiawan dan pendita Islam, melahirkan modal insan berinovasi, mengurus kewangan secara berhemah dan membudayakan amalan kerja berintergriti.

”USIM sebagai sebuah menara gading yang berkhidmat kepada ilmu dan ’seeking knowledge for the sake of finding the truth’ akan tetap diukur dari segi penghasilan serta kualiti penyelidikan dan inovasinya. Diharapkan USIM dapat mencapai status sebagai sebuah ’Research Universiti’ dalam jangkamasa lima tahun akan datang”, tambah beliau lagi.

Beliau turut menyatakan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Mantan Naib Canselor, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin kerana telah berjaya meletakkan asas yang kukuh untuk USIM terus berkembang maju.

Turut diselitkan, Majlis Penyerahan Tugas oleh Mantan Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin kepada Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Dalam ucapannya, Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor berkata, masa adalah satu penantian lama bagi mereka yang tidak berbuat apa-apa dan masa adalah sangat singkat bagi seseorang yang merancang dan melaksanakan. Justeru itu beliau berharap agar semua warga USIM bekerjasama dalam memartabatkan Citra USIM.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad Daud & Siti Maizatul Akmar Ismail
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028



Thursday, January 7, 2010

KEJOHANAN INTERVARSITI JANA PROFESIONAL PERGIGIAN

Bandar Baru Nilai, 26 Disember 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menang dua emas dalam pertandingan tenis bergu lelaki dan bola jaring dalam Kejohanan Sukan Intervarsiti Fakulti Pergigian IPTA 2009 anjuran Fakulti Pergigian USIM dengan kerjasama Pusat Sukan USIM. Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara keseluruhan dalam kejohanan tersebut menewaskan 6 universiti awam yang lain.

Kejohanan kali ke-4 ini mula di ilihamkan sejak tahun 2006 dan merupakan sebahagian dari usaha Fakulti Pergigian USIM dan Pusat Sukan untuk mempromosikan sambutan 10 tahun USIM yang telah di lancarkan Oktober lalu oleh Tuanku Canselor.

Sebanyak 6 universiti awam yang mempunyai fakulti pergigian turut serta dalam kejohanan ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pasukan tuan rumah dari USIM. Sebanyak 6 acara dipertandingkan pada kejohanan sehari ini iaitu Futsal lelaki dan wanita, bola jaring, bola tampar lelaki dan wanita, ping pong dan tenis.

Kejohanan yang menarik lebih 500 penyertaan dikalangan peserta dari fakulti pergigian seluruh negara ini merupakan salah satu medium untuk mengeratkan perhubungan yang sihat dikalangan pelajar fakulti pergigian. Ianya juga merupakan sebahagian dari usaha untuk melatih bakal doktor pergigian untuk berfikiran "think out of the mouth" yang mana tidak hanya tertumpu kepada bidang berkenaan tetapi juga boleh menjadi seorang bakal doktor yang dilabel tidak pasif selaras dengan moto fakulti pergigian USIM iaitu " Menjana Profesional Pergigian Yang Seimbang".

Kejohanan ini di sempurnakan oleh Y.Bhg Prof Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP & Alumni USIM di Pavilion Pusat Sukan USIM. Turut hadir Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman, Dekan Fakulti Pergigian USIM.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028