Thursday, September 17, 2009

Perutusan ‘Idulfitri 1430H - Rektor USIM

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah melimpahkan rahmatNya kepada kita dan dipanjangkan usia untuk menyambut Hari Raya ‘Idulfitri pada kali ini.

Melihat kepada situasi semasa, seluruh kakitangan Universiti Sains Islam Malayisa (USIM) perlu mengambil perhatian terhadap penularan wabak Influenza A H1N1 pada masa ini. Bimbang dengan kemungkinan wabak berkenaan merebak pantas ke seluruh negara berikutan pergerakan besar-besaran warga kota ketika cuti ‘Idulfitri hujung minggu ini, semua staf USIM disaran membawa bersama kit pencegahan H1N1 sepanjang masa dan ke mana saja mereka pergi. Kit mengandungi topeng mulut dan hidung, tisu serta pencuci tangan antikuman yang tidak perlu dibilas boleh disediakan sendiri atau dibeli di farmasi. Ia perlu dianggap sebagai barang perlu dimiliki oleh semua yang bercadang balik kampung sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau perkhidmatan awam.

Selain itu, sempena Hari Raya ini juga, saya menyeru kepada semua penunggang motosikal dan pemandu kenderaan supaya sentiasa bersabar dan memandu secara berhemah. Sebagai pengguna jalan raya, kemalangan boleh dielakkan sekiranya semua orang mengamalkan sikap bersabar, bertimbang rasa dan sentiasa mematuhi arahan keselamatan jalan raya. Marilah kita sama-sama berdoa agar semuanya selamat pulang ke kampung halaman masing-masing dan juga selamat kembali semula ke USIM nanti.

Walaubagaimanapun, kedatangan Syawal pasti disambut meriah saban tahun. Sempena ‘Idulfitri yang penuh kemuliaan ini, marilah kita sama-sama saling memperteguh tali silaturahim di antara kita dengan budaya saling maaf-bermaafan. Amalkanlah adab-adab yang baik untuk menyambut hari lebaran ini. Hidupkan malam ‘Idulfitri dengan takbir tanda syukur kepada Ilahi. Tunaikanlah zakat fitrah, elakkan pembaziran dan jauhi segala perbuatan yang tidak baik serta sia-sia.

Dari Abu Ayyub Al-Anshari R.A. katanya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Siapa yang puasa bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.” [Hadith Riwayat Muslim]. Demikianlah Rasulullah S.A.W. mengajarkan kita satu amal yang sangat baik iaitu kita berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal sebagai satu kesinambungan bahawa Islam tidak hanya mewajibkan puasa di bulan Ramadan semata-mata, bahkan Islam juga menganjurkan juga kepada kita supaya mendekatkan diri serta terus mengamalkan ibadah berbentuk puasa ini di dalam bulan Syawal.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idulfitri khususnya kepada seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia.

Salam ‘Idulfitri 1430 Hijrah. Maaf zahir dan batin.

“BERILMU, BERDISIPLIN DAN BERTAKWA”

Yang benar,


PROF. DATO’ DR. ABDUL SHUKOR HJ. HUSIN

Naib Canselor
Universiti Sains Islam Malaysia

Wednesday, September 16, 2009

USIM BERI INSENTIF KEPADA ATLET SUKAN MASUM DAN SUKAN STAF 2009

Nilai, 15 September 2009 – Kontingen USIM telah menyertai Kejohanan Sukan MASUM 2009 bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terdiri daripada pelajar-pelajar USIM pada bulan Mei 2009 dan Sukan Staf di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada bulan Jun 2009 yang lalu.

Pada temasya Kejohanan Sukan MASUM kali ini, kontingen USIM telah memenangi sejumlah satu emas, dua perak dan sembilan gangsa yang telah disumbangkan oleh atlet dari Pasukan Boling Padang dan Pasukan Pencak Silat.

Manakala bagi Kejohanan Sukan Staf, atlet dari Pasukan Tarik Tali telah berjaya merangkul Pingat Emas dan atlet dari Pasukan Bola Tampar Lelaki telah berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Demi menghargai sumbangan dan jasa mereka yang telah mengharumkan nama Universiti, USIM berbesar hati memberikan insentif berbentuk wang kepada mereka. Sebanyak RM 500 diberikan kepada mereka yang menyumbang pingat emas, RM 300 pingat perak dan RM 200 untuk pingat gangsa. Penyampaian insentif ini telah disempurnakan oleh Naib Canselo USIM, Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.

Semoga atlet USIM lebih berdaya maju dan cemerlang di masa hadapan.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Tuesday, September 15, 2009

BICARA AKADEMIK : MENGEJAR KECEMERLANGAN TANPA RUH

Nilai, 14 September 2009 – Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Y.Bhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan melahirkan perasaan bimbang terhadap masyarakat kini yang sedang terancam akibat tiada nilai-nilai moral dalam sistem ekonomi masakini disebabkan kelalaian pengurusan universiti seluruh dunia dalam usaha menekankan nilai-nilai dan akhlak mulia dalam pengajian tinggi.

Ini kerana katanya, semakin besar dan hebat sesebuah universiti itu, semakin kuat keinginan mereka untuk berjaya di pasaran ekonomi yang sekaligus meninggalkan tanggungjawab bagaimana membentuk pelajar supaya mempunyai akhlak yang mulia kerana industri ekonomi kini tidak mencari karektor yang mulia tetapi lebih mementingkan ketrampilan yang memenuhi ciri-ciri di pasaran.

“Saya bimbang jikalau pengurusan universiti yang dibina diatas wawasan Islam tidak begitu kritikal memahami dan menekankan aspek morak dalam pengajian tinggi masa kini yang mana boleh menjurus kearah kehancuran. Perkara sebegini seharusnya tidak dipandang ringan dan mesti dielakkan’, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya yang bertajuk ‘Mengejar Kecemerlangan Tanpa Ruh : Iktibar dari Krisis Universiti Harvard’ dalam Bicara Akademik bersama warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kampus USIM Bandar Baru Nilai anjuran Pusat Pengembangan Akademik USIM.

Y.Bhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan turut mengulas tentang krisis ‘commercializatian’ yang berlaku di Universiti Harvard dimana Universiti Harvard sehingga kini masih hebat, tetapi sebarang perbincangan tentang prinsip-prinsip moral dan nilai-nilai mutlak sudah tidak menjadi penting dalam kurikulum di pengajian tinggi malah terus dilupakan.

Beliau berharap agar universiti seperti USIM yang merupakan universiti pendidikan alternatif iaitu gabungan antara ilmu-ilmu dunia dan ilmu-ilmu agama dapat menjalankan tanggungjawab mendidik dan membimbing pelajar agar sentiasa menerapkan nilai-nilai moral dalam diri masing-masing disamping kecemerlangan dalam bidang akademik.

Beliau mengambil contoh sistem pendidikan yang mantap pada zaman dahulu seperti Andalusia, Cordova dan sebagainya yang menggabungkan ilmu-ilmu dunia dan ilmu-ilmu agama sekaligus.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Friday, September 11, 2009

Makluman Kepada Pelajar Sulung USIM/KUIM (Kemasukan Sesi 2000/2001)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sempena Sambutan 10 Tahun penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pihak universiti ingin mendapatkan maklumat berupa gambar, rakaman atau dokumen koleksi peribadi khusus daripada pelajar sulung (kemasukan Sesi 2000/2001) bagi sepanjang tempoh pengajian mereka di KUIM. Tujuan maklumat tersebut untuk dijadikan bahan pameran dan arkib USIM.

Maklumat boleh disalurkan kepada Cik Harianti Husain, Unit Multimedia & Koleksi/Arkib, Perpustakaan USIM, emel : harianti@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya atau Puan Al- 'Uyuna Mohd Amin, Unit Pentadbiran & Alumni, Bahagian HEP, emel: uyuna@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya .

BKKUSIM ANJUR SOLAT HAJAT DAN TAHLIL PERDANA

Nilai, 10 September 2009 – Hampir 200 kakitangan USIM telah menyertai Majlis Solat Hajat dan Tahlil Perdana bertempat di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan. Majlis ini diadakan bersempena dengan Sambutan 10 tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan mendoakan kesejahteraan USIM agar terus berjalan dengan baik demi mencapai matlamat penubuhan ketika ia diasaskan 10 tahun lalu.

Majlis bermula seawal jam 12.30 tengahari dimana satu ceramah ringkas telah disampaikan oleh Dr. Adnan Mohamed Yusof, Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM sementara menunggu waktu solat zohor. Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk USIM 10 tahun : Mensyukuri Kejayaan, Melonjak Pencapaian.

Dalam ceramahnya beliau menekankan betapa pentingnya majlis keagamaan sebegini yang mana dapat mempereratkan hubungan silaturrahim sesama insan. Beliau juga menyeru kepada semua kakitangan USIM agar dapat merenung kembali jasa-jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada mereka yang masih ada juga yang telah tiada dalam usaha menaikan nama USIM dan meningkatkan martabat pengajian Islam ke dalam arus perdana pengajian tinggi negara.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah Yassin dan tahlil yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dari FPQS diikuti solat zohor dan solat hajat berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad juga dari FPQS.

Turut diselitkan penyerahan cek sumbangan berjumlah RM 2,430 kepada Encik Mohd Zul Azhar Abdul Rahman, Pengawal Keselamatan USIM yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM bertujuan untuk membantu meringankan bebanan rawatan Allahyarham bapa beliau. Pihak Universiti telah mengadakan kutipan sumbangan derma dikalangan kakitangan disamping mendapatkan sumbangan terus dari sumber kewangan Universiti.

Diakhir majlis turut diedarkan kurma kepada kakitangan USIM oleh Badan Kebajikan Kakitangan USIM (BKKUSIM).

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Tuesday, September 8, 2009

BAHAGIAN KESELAMATAN USIM EDAR BUBUR LAMBUK

Nilai, 3 September 2009 – Kira-kira 650 bungkus bubur lambuk telah diedarkan secara percuma kepada semua kakitangan USIM. Menu istimewa yang menjadi hidangan setiap bulan Ramadhan itu disediakan seawal pagi dan diedarkan kepada semua kakitangan USIM bermula pukul 5.00 petang. Penganjuran tradisi pada kali ini adalah dari Bahagian Keselamatan USIM.

Menurut Bahagian Keselamatan USIM, selain menghormati bulan Ramadhan sebagai bulan yang mulia, umat islam digalakkan bersedakah di samping dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain. Justeru itu Bahagian Keselamatan USIM mengambil inisiatif untuk sama-sama bersedekah dan mendapat keberkatan di bulan yang mulia ini.

Pengagihan bubur lambuk disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin. Turut sama mengagihkan bubur lambuk adalah Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni, Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah bersama pegawai-pegawai Bahagian Keselamatan USIM.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

USIM AMBIL LANGKAH CEGAH INFLUENZA H1N1




Nilai, 2 September 2009 – Wabak Influenza A (H1N1) dilihat kini semakin serius penularannya. Ini berikutan sehingga kini kes kematian mencecah ke angka 72 orang. Atas rasa prihatin dan tanggungjawab, Unit Kesihatan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah awal bagi mencegah penularan wabak ini dengan membuat pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1) di setiap Jabatan USIM.


Pemeriksaan ini diadakan bermula pada 2 hingga 11 September 2009 dan dimulai dengan pemeriksaan saringan di Bangunan Canselori yang melibatkan Jabatan Canselori, Bendahari dan Pendaftar. Kemudian diikuti pusat-pusat dan fakulti-fakulti untuk hari yang berikutnya.

Pemeriksaan ini telah dijalankan oleh Dr. Junaidah bt Abd. Wahab, Pegawai Perubatan Unit Kesihatan Pelajar USIM.

Selain itu USIM turut mengarahkan semua kakitangan akademik supaya memperuntukkan beberapa minit untuk memaklumkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan Influenza A (H1N1) kepada para pelajar sebelum memulakan kuliah/ tutorial. Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu memaksimumkan penjagaan kebersihan diri dan peka kepada tahap kesihatan para pelajar bagi mencegah penularan wabak ini.

“Pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1) ini merupakan inisiatif Unit Kesihatan Pelajar memandangkan Influenza A (H1N1) kini semakin serius penularannya. Ianya sebagai langkah awal bagi mencegah penularan wabak ini,” kata Dr. Junaidah.

“Walaupun penularan wabak Influenza A (H1N1) di USIM masih dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan, saya menyarankan agar semua warga USIM memakai topeng keselamatan terutama mereka yang bersimptom sebagai langkah berjaga-jaga,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau, komuniti kampus keseluruhannya perlu mengamalkan batasan pergaulan (social distancing) di samping menjaga kebersihan diri yang baik.

Sehingga jam 4.00 petang, hampir 200 kakitangan USIM telah melakukan pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1). Rata-rata mereka berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan tidak membimbangkan.


pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

NAIB CANSELOR USIM SERAH JALUR GEMILANG

Nilai, 28 Ogos 2009 – Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-52, USIM telah melancarkan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada semua warga USIM. Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM sendiri telah menyerahkan jalur gemilang ini kepada semua warga USIM.

Antara objektif aktiviti ini dijalankan adalah untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warga USIM di samping memupuk kesedaran dan semangat patriotik di kalangan warga USIM khususnya kepada mahasiswa supaya lebih menghayati jatidiri, bangsa dan tanah air tercinta.

Majlis dimulai dengan peletakan jalur gemilang di kereta-kereta rasmi Universiti diikuti dengan kenderaan keselamatan USIM, Ambulans USIM dan kenderaan-kenderaan lain. Hampir 200 kenderaan yang terdiri daripada pelbagai kategori telah turut serta dalam menjayakan majlis ini.

Turut hadir, Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah, Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Almuni, En. Muhammad Haizuan Rozali, Pemangku Pendaftar, En. Zairul Hisham Ahmad Khulaimi, Pemangku Bendahari, Dekan-Dekan dan Prof. Dr. Mohammad Hj. Alias, Pengarah Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat (PPSHK).

Majlis berakhir pada pukul 5.20 petang. Semoga penganjuran majlis sebegini dapat mencapai objektifnya dan berjaya menghasilkan semangat kerjasama, bersikap aktif dan positif serta mampu menghayati nilai-nilai murni.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028