Tuesday, June 23, 2009

PERTANDINGAN DEBAT BAHASA ARAB KALI KE-2 2009

Nilai, 16 Jun 2009 - Universiti Sains Islam Malaysia sekali lagi menganjurkan Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan buat kali kedua tahun 2009. Pertandingan debat ini berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 Julai 2009. Sebanyak 52 buah sekolah dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut pihak penganjur, Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan dianjurkan buat kali kedua didukungi oleh beberapa objektif iaitu menyemarakkan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar sekolah di samping mewujudkan perkongsian pintar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Acara kemuncak pertandingan ini telah mempertemukan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor (KISAS) dengan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam (SAMTAJ) untuk bertanding di peringkat akhir.

Bersandarkan tajuk “Kelalaian Ibu Bapa Punca Utama Keruntuhan Akhlak Remaja” , KISAS selaku pihak pencadang telah muncul juara dengan kiraan markah juri sebanyak 5:2 sekali gus menempatkan SAMTAJ di tempat kedua. KISAS membawa pulang RM 2500, piala pusingan Naib Canselor, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala SAMTAJ berjaya membawa pulang RM 2000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pendebat Terbaik telah disandang oleh Siti Aisyah Mohd Ramli pendebat dari KISAS dan membawa pulang RM 800, piala iringan dan sijil penghargaan.

Sebagai pihak pencadang, KISAS bersetuju bahawa kelalaian ibu bapa punca utama keruntuhan akhlak remaja. KISAS menegaskan pendidikan awal anak-anak adalah bermula dari rumah. Justeru itu perlakuan anak-anak samada positif atau negatif ditentukan melalui pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Sesetengah Ibu bapa pada masa kini kurang memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak disebabkan kesuntukan masa. Oleh itu anak-anak hanya dilimpahi wang ringgit tanpa mengetahui tujuan wang itu disalurkan.

Manakala SAMTAJ selaku pihak pembangkang menegaskan bahawa kelalaian ibu bapa bukan punca utama keruntuhan akhlak remaja. Keruntuhan akhlak remaja berpunca dari persekitaran, media massa dan kawan-kawan.
Pertandingan akhir ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Muhammad Haizuan Rozali, Pemangku Pendaftar mewakili Naib Canselor USIM. Turut hadir Tuan Haji Abdullah Salleh, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028

Tuesday, June 16, 2009

DATIN PADUKA SERI ROSMAH MANSOR RASMI KEM HARAPAN SAPURA

Nilai, 12 Jun 2009 - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Kem Harapan Sapura yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula pada 11 hingga 13 Jun 2009. Seramai lebih 370 pelajar dari sekitar Seremban dan Selangor yang terdiri dari anak yatim dan miskin yang terdiri dari anak yatim dan miskin yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Kehormat Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia. Kem Harapan pada tahun ini merupakan Kem Harapan yang kedua yang berjaya dianjurkan oleh Yayasan Kanak-Kanak Malaysia selepas kejayaan Kem Harapan 2008 yang berlangsung di Kem Terendak Melaka dengan kerjasama Regimen 10 para dan Kementerian Pertahanan Malaysia. Didorong oleh kemanisan kejayaan Kem Harapan 2008, Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia sekali lagi menganjurkan Kem Harapan pada tahun ini.

Pada tahun ini, Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia bertuah kerana Kumpulan Sapura, sebuah Syarikat Konglomerat Utama negara telah bermurah hati menjadi penaja utama Kem Harapan ini dan sebagai kehormatan kepada Kumpulan Sapura Kem Harapan kali ini dinamakan sebagai KEM HARAPAN SAPURA.

Pengisian dan pengendalian program ini melibatkan pegawai dan pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi USIM terutamanya melalui penglibatan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) yang dinaungi oleh YAB Perdana Menteri sebagai pelaksana utama pengisian program ini. Program ini meliputi aktiviti ceramah, tazkirah, sukan dan sesi latihan dalam kumpulan dengan memfokuskan pembangunan sahsiah dalaman dan jati diri luaran peserta.

Antara objektif program ini adalah membangunkan potensi diri di kalangan para pelajar yang terlibat agar memiliki jati diri dan motivasi untuk mencari kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Di samping itu melahirkan generasi pewaris kepimpinan negara yang memiliki kesedaran tinggi akan tanggungjawab mereka kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Turut hadir, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Datin Yazreen Yahya.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028

Monday, June 15, 2009

Pertandingan Akhir Debat Bahasa Arab

Pertandingan Akhir Debat Bahasa Arab Antara Sekolah Menengah
Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2009

Pada: 16 Jun 2009 (Selasa)
Masa: 8.30 Pagi
Bertempat di: Dewan Kuliah Pusat 3
USIM, Bandar Baru Nilai

Tuesday, June 9, 2009

JASAMU DIKENANG PENDAFTAR-BENDAHARI

Nilai, 5 Jun 2009 – USIM telah berbesar hati mengadakan Majlis Persaraan untuk Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman, Pendaftar USIM dan Puan Hajah Rohani Abu, Bendahari USIM bertempat di Galeri, Bangunan Canselori. Majlis ini dibuat untuk menyatakan penghargaan universiti kepada mereka yang telah berkhidmat di USIM hampir 10 tahun.

Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu masing-masing telah memulakan perkhidmatan di USIM sebagai Pendaftar dan Bendahari pada 1 Januari 2000. Mereka merupakan antara tokoh awal yang terlibat dalam merealisasikan hasrat USIM sehingga berjaya meletakkan USIM setanding dengan universiti lain di Malaysia.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM ciri-ciri seorang pentadbir atau pemimpin yang baik ialah mereka yang berkebolehan membuat keputusan dengan cepat dan tepat serta berpandangan ke hadapan.

“Untuk menjadi seorang Pentadbir bukanlah satu perkara yang mudah. Bukan semua orang mampu menjadi pentadbir yang baik. Seorang pentadbir yang baik perlu berani membuat keputusan dengan memikirkan risiko yang akan dihadapi dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menghadapi risiko tersebut” tambah beliau semasa berucap di Majlis Persaraan Pendaftar dan Bendahari di sini, hari ini.

Di kesempatan itu beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih di atas segala curahan tenaga, masa dan idea yang telah diberikan oleh Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu sepanjang berkhidmat di USIM.

Selamat Maju Jaya diucapkan kepada Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu. Semoga sentiasa dirahmati dan dikurniakan kebahagian berpanjangan.

“Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan”

“Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga”

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028