Tuesday, November 24, 2009

KERJASAMA USIM-IFA INDIA MARTABAT INSTITUSI FATWA

Nilai, 12 November 2009- Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)dan Islamic Fiqh Academy of India (IFA-India) berhasrat mewujudkan suatu kerjasama yang bertujuan untuk memartabatkan Institusi fatwa supaya sentiasa terkehadapan dalam mendepani kemaslahatan umat islam sejagat. Dengan itu, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman telah diadakan bagi memenuhi hasrat ini.

Hubungan kerjasama ini bertepatan dengan hasrat INFAD untuk menjadi sebuah institusi penyelidikan, perundingan dan pusat pengurusan maklumat berkaitan fatwa bertaraf dunia yang berwibawa serta dikenali dan mendapat pengiktirafan semua peringkat sama ada tempatan, serantau atau antrabangsa. Skop hubungan kerjasama ini meliputi segi pengurusan fatwa, penyelidikan, seminar dan latihan, khidmat kepakaran, penerbitan.

Memorandum ini telah ditandatangani oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM dan En. Muhamad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM. Manakala pihak IFA India diwakili oleh Sheikh Badrul Hasan Al-Qasimi, Naib Presiden Islamic Fiqh Academy (IFA) India dan Sheikh Khalid Saifullah Al-Rahmani, Setiausaha Am Islamic Fiqh Academy (IFA) India.


Oleh :
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Tel : 06-7988592/8588/8590







Friday, November 13, 2009

20 IMAM MUDA NEGARA CHINA TAMAT KURSUS DI USIM

Nilai, 11 November 2009 – Seramai 20 Imam Muda dari Negara China dirai dalam satu majlis anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) disini hari ini. Majlis tersebut adalah bersempena Kursus Imam Muda Negara China buat kali ke-4 di USIM.

Kursus ini dijalankan selama enam bulan di Malaysia bertempat di tiga buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan destinasi terakhir adalah di USIM. Ianya juga mendapat kerjasama dari pihak Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).

Kursus yang dijalankan di USIM berlangsung pada 19 Oktober hingga 13 November 2009. Mereka menjalani kursus bermula hari isnin hingga jumaat. Manakala setiap hari sabtu dan ahad para peserta akan mengikuti aktiviti luar yang dianjurkan oleh pihak MACMA.

Antara matlamat kursus ini adalah melahirkan golongan imam dari Negara China yang mampu menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam dengan baik di samping melahirkan golongan imam dari Negara China yang berketrampilan dan berdaya saing.

Pada tahun 2006, 2007 dan 2008, USIM telah berjaya menganjurkan kursus selama sebulan untuk imam-imam muda Negara China. Bagi meneruskan kesinambungan usaha USIM memberikan sumbangan kepada umat Islam seluruh dunia, maka pihak USIM sekali lagi bersetuju menjadi penganjur untuk ursus Imam Muda Negara China buat kali ke-4.

Menurut Puan Marlina Wong, wakil dari MACMA selaku pegawai pengiring kepada peserta kursus Imam Muda Negara China, kedatangan Imam Muda dari negara China telah membawa satu tenaga dan gelombang yang sangat kuat dalam lapangan Islam di negara China terutama dalam membimbing golongan mualaf ke arah pertukaran dari bukan muslim kepada muslim sejati.

Kedatangan mereka ke Malaysia bukan sahaja untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama, tetapi lebih kepada jalinan ukhuwah sesama umat Islam disamping mencari peluang jalinan kerjasama di antara satu negara dengan negara lain. USIM di pilih kerana dilihat mampu memberikan pengajaran yang berkesan kepada imam-imam muda Negara China memandangkan bahasa perantaraan yang digunakan adalah bahasa Arab dan Inggeris.

Kebanyakan mereka berasal dari Gangsu, Yunnan, Sichuan, Hainan dan Ningxia. Rata-rata peserta berumur dari 22 hingga 44 tahun dan ada yang sudah berkahwin. Kebanyakan mereka bekerja sebagai Imam-Imam di masjid, pengetua kolej dan penterjemah bahasa arab di negara mereka. Ada di antara mereka merupakan lepasan pelajar dari Mesir, Pakistan dan Syria.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028








Saturday, November 7, 2009

EN. MUHAMMAD HAIZUAN ROZALI, PENDAFTAR USIM

Nilai, 2 November 2009 – Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah bersetuju melantik Pemangku Pendaftar En. Muhammad Haizuan Rozali sebagai Pendaftar yang baru bagi universiti itu. Pelantikan En. Muhammad Haizuan ke jawatan Pendaftar berkuat kuasa mulai 1 November 2009.

Pelantikan itu juga adalah berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan akademik serta kecemerlangan kerjaya yang dicapai oleh beliau.

Beliau memulakan kerjaya di USIM bersama kumpulan awal yang mengerakkan penubuhan USIM pada tahun 2000 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Psikologi Pembangunan Manusia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada tahun 2002 beliau dilantik sebagai Timbalan Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga tahun 2008. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pendaftar Kanan dan ditempatkan di Jabatan Pendaftar. Pada 6 Jun 2009 beliau telah dilantik sebagai Pemangku Pendaftar.
Sebelum memulakan kerjaya di USIM, beliau bertugas sebagai Perundingcara Pelajar di Unit Rundingcara Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UKM dari tahun 1994 sehingga beliau menyertai USIM pada tahun 2000.




Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Friday, November 6, 2009

USIM MELAKAR KECEMERLANGAN DI USIA 10 TAHUN



Nilai, 28 Oktober 2009 - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat untuk berdiri sama gagah sebagai sebuah universiti bertaraf APEX dalam masa 10 tahun akan datang.

“Kearah itu, program-program pembangunan insaniah menjadi keutamaan universiti yang digabung jalin serta digarap dalam perkembangan dan kemajuan akademik pelajar”, kata Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Hj. Md. Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Aktiviti Sempena sambutan 10 Tahun USIM disini hari ini.

Menyingkap sejarah penubuhan USIM yang beroperasi secara rasminya pada tahun 1999, USIM kini genap mencapai usia 10 tahun dan dikenali sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang berwawasan untuk memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan.

Menurut Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM, hasrat penubuhan USIM yang dahulunya dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), adalah berdasarkan keperluan Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan pelajar Malaysia ke Timur Tengah terutamanya dalam bidang Pengajian Islam.

“Sehingga kini USIM berkembang pesat dengan mempunyai bilangan pelajar semasa melebihi 5500 orang. USIM mensasarkan peningkatan enrolmen pelajar ke angka 16,000 pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berpendidikan tinggi untuk jangkamasa 10 tahun akan datang”, tambah Dato’ Dr. Abdul Shukor lagi.

Program Sambutan 10 Tahun USIM ini bermula pada bulan September 2009 yang lalu sehingga Julai 2010. Sambutan ini melibatkan setiap warga dan organisasi USIM meliputi setiap Unit, Bahagian, Jabatan Dan Fakulti.

Lebih 38 program dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersempena Program Sambutan 10 Tahun USIM. Antaranya adalah seperti Program Solat Hajat Dan Tahlil Perdana Bersempena Sambutan 10 Tahun USIM, Majlis Malam USIM Bersama Media 2009, Program Jalinan Muhibbah Perjumpaan 10 Tahun Alumni USIM, Forum Hal Ehwal Islam Bersempena Sambutan 10 Tahun USIM Kerjasama JAKIM & RTM dan Program Golf Amal Tunku Canselor USIM Bersempena Sambutan 10 Tahun USIM.

Semoga USIM terus maju dalam merealisasikan visi dan misi penubuhannya dan kesinambungan kecemerlangan yang dilakar oleh USIM dapat diteruskan oleh generasi akan datang dengan harapan yang tinggi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028