Friday, February 26, 2010

PELANCARAN BUKU MELAKAR JEJAK-BIOGRAFI MOHD YUSOF NOOR

Kuala Lumpur, 5 Februari 2010 - Buat julung-julung kalinya penerbitan biografi Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dibukukan dan dilancarkan pada 5 Februari 2010 bertempat di Dewan Perdana Felda. Majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim melahirkan rasa bangga terhadap Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dan melabelkannya sebagai tokoh yang sentiasa berpandangan jauh dan mempunyai wawasan serta daya optimisme yang tinggi.

Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam pentas politik dan banyak pembaharuan yang telah dilakukan mewarnai wajah Malaysia kini. Antaranya adalah seperti penubuhan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan idea mewujudkan dan mencipta Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Lagu Maal Hijrah.

Peranan beliau dalam mengukuhkan identiti Islam serta penubuhan Planetarium Kuala Lumpur merupakan jasa dan sumbangan beliau yang akan terus tercatat dalam rakaman sejarah pembangunan Malaysia.

Mendapat pendidikan awal dalam Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaysia dan mengambil Diploma Kepakaran Pendidikan Universiti ‘Ain Shams. Kemudian menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Al-Azhar dan seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Falsafah, Universiti Kaherah, Mesir.

Kejayaan beliau membangunkan FELDA dalam bidang korporat telah membuktikan bagaimana beliau mampu membina empayar perniagaan untuk masyarakat FELDA yang pada masa dahulu dipinggirkan dan kini bertukar menjadi hamparan sawit yang penuh dengan limpahan rahmat dan rezeki orang FELDA.

Sejajar dengan dirinya yang menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sumbangan dalam bidang keagamaan diteruskan menerusi akademik bagi melahirkan pelajar yang mampu menjadi tokoh hebat serta mampu menjadi teladan kepada masyarakat berbilang kaum kerana universiti adalah platform yang cukup baik dalam melahirkan pakar dan tokoh dalam pelbagai bidang termasuk keagamaan.

Terbitnya buku biografi sebegini, memberi makna yang sangat mendalam kepada industri penerbitan buku negara. Ianya akan menjadi platform untuk merakamkan pengalaman, suka duka yang ditempuhi sepanjang rentetan masa dan mambawa generasi masakini untuk merenungi dan mencontohi segala semangat yang ada.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058





No comments:

Post a Comment