Sunday, August 30, 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA LPU USIM

Nilai, 25 Ogos 2009 – Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia, USIM telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Lembaga Pengarah Universiti bersama Pengurusan USIM yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Universiti, Dekan-dekan dan Pegawai Kanan USIM.

Majlis Berbuka Puasa ini diadakan adalah rentetan daripada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang diadakan pada siang harinya. Majlis dimulakan dengan bacaan doa makan dan seterusnya majlis berbuka puasa. Majlis diakhiri dengan solat maghrib secara berjemaah.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

BERITA HARIAN DEKATI IPTA

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2009 – Majlis Perjumpaan dan Suai Kenal Berita Harian dan IPTA telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih 50 orang wakil IPTA di Malaysia. USIM telah di wakili oleh Prof. Dr. Mohammad Haji Alias, Pengarah Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat dan Puan Yusrina Mohd Yunus, Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam.

Program ini dianjurkan sebagai satu langkah untuk mendekati Institusi-Institusi Pengajian Awam tempatan di samping memberi penerangan tentang aktiviti yang telah dan sedang dijalankan oleh Berita Harian bagi mendokong sistem pendidikan nasional.

Menurut En. Mior Kamarul Shahid, Editor Kumpulan Berita Harian, majlis perjumpaan dan suai kenal ini merupakan inisiatif Berita Harian untuk mendekati IPTA-IPTA tempatan disamping merangka aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah dialog antara wakil Berita Harian dan IPTA, pembentangan dari wakil pemasaran Berita Harian dan lawatan sekitar Berita Harian dan beramah mesra bersama para wartawan.

Majlis Perjumpaan dan suai Kenal Berita Harian-IPTA ini memberi ruang kepada perwakilan dari IPTA untuk berdialog dengan wakil Berita Harian untuk mengeratkan lagi kerjasama antara dua pihak.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Monday, August 24, 2009

PERTANDINGAN DEBAT KEMERDEKAAN ALA PERLIMEN

Angkasapuri, 18 Ogos 2009 – Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara dalam pertandingan akhir Debat Kemerdekaan Ala Parlimen antara Universiti-universiti Malaysia 2009 mengalahkan Universiti Multimedia (MMU). Pertandingan akhir ini mempertemukan Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Multimedia (MMU) yang mempertaruhkan tajuk “Perpaduan Negara Tanggungjawab Rakyat”.

Johan telah membawa pulang wang tunai RM 7000, piala pusingan dan sijil penyertaan manakala naib johan pula membawa hadiah wang tunai RM 5000 dan sijil penyertaan. Pendebat terbaik telah disandang oleh Saudara Mier Iman bin Mohd Yusof dari Universiti Multimedia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM 500 dan sijil penyertaan.

MMU selaku pihak pencadang (Kerajaan) menegaskan bahawa perpaduan negara merupakan tanggungjawab rakyat. Mereka telah membentangkan hujah-hujah dimana peranan rakyat dalam perpaduan negara disimpulkan dalam tiga perkara iaitu merapatkan jurang antara kaum, menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan interaksi antara rakyat.

Selaku pihak pembangkang, UTP membuat kesimpulan bahawa “Perpaduan Negara adalah tanggungjawab Kerajaan” dimana tanpa pengwujudan dasar kerajaan tidak mungkin rakyat dapat bekerjasama untuk untuk mewujudkan perpaduan negara.

Sebanyak 30 buah pasukan yang terdiri daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Pertandingan debat ini dikatakan antara yang paling berprestij di Malaysia kerana berjaya menghimpunkan penyertaan IPT terunggul negara seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Turut mengambil bahagian ialah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Universiti Lim Kok Wing, Universiti Multimedia (MMU), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

Pertandingan yang diadakan bermula pada 14 hingga 18 ogos 2009 ini merupakan pertandingan kali yang ke-10 dan diletakkan di bawah program Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Untuk edisi kali ini, USIM telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM).

Pertandingan akhir telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Yang Berhormat Datuk Joseph Salang Gandum mewakili Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Dalam ucapannya beliau merayu agar Arkib Negara Malaysia, MADUM, IPTA,IPTS dan IPGM bergerak seiring dalam menjayakan aktiviti yang bersifat kenegaraan seperti ini supaya generasi muda dapat menghargai pengorbanan tokoh-tokoh negara.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028

Friday, August 14, 2009

SESI TAARUF PELAJAR SISWAZAH 2009/2010

Nilai, 11hb. Ogos, 2009 – Hampir 100 orang pelajar baru dan pelajar sedia ada telah menyertai sesi Taaruf pada kali ini. Turut hadir Prof. Dr. Bachok M. Taib, Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Timbalan-Timbalan Dekan Fakulti, Ketua Program-Program Siswazah, Kakitangan Akademik dan juga Kakitangan Pentadbiran yang sama-sama menjayakan program ini.

Sesi Taaruf pelajar Siswazah merupakan satu sesi yang wajib pada setiap tahun bagi memaklumkan kepada pelajar mengenai peraturan pengajian yang digunapakai, merapatkan jalinan hubungan antara pelajar siswazah dengan penyelia di samping memudahkan urusan pemantauan perkembangan pelajar.

Selain daripada itu, sesi ini dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk sama-sama berkomunikasi dengan pihak pentadbir dan juga pihak Pengurusan Universiti. Program yang merupakan acara tahunan ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USIM.

Pusat Pengajian Siswazah juga telah menjemput penceramah-penceramah daripada dalam dan luar USIM untuk memberikan input yang berguna kepada pelajar-pelajar baru ini. Salah seorang penceramah luar yang dijemput ke majlis ini adalah, Tuan Syed Ahmad bin Syed Jamaluddin, Pegawai Imigresen Negeri Sembilan yang memberikan penerangan dan taklimat mengenai peraturan imigresen untuk pelajar Antarabangsa yang terpakai di Jabatan Imigresen Malaysia.

Pelajar juga diberikan taklimat mengenai pangkalan data yang digunapakai di perpustakaan USIM bagi memudahkan proses carian journal, bahan dan juga buku yang diperlukan untuk penyediaan penyelidikan pelajar dan juga pengajian pelajar Ijazah Lanjutan di USIM.


Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027

FESTIVAL CIPTA LAGU PATRIOTIK 2009

Putrajaya, 8 Ogos 2009 – Lagu ‘Semangat Anak Bangsa’ nyanyian Roy telah terpilih menjadi juara untuk Festival Cipta Lagu Patriotik (CIPTA ’09) anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya. Johan telah membawa pulang wang tunai RM 1000 dan hadiah iringan. Manakala lagu ‘Satu Malaysia’ menduduki tempat kedua diikuti lagu ‘Cinta Malaysia’ yang mana masing-masing membawa hadiah wang tunai sebanyak RM 750 dan RM 500 besrta hadiah iringan.

Manakala sebanyak tiga buah lagu telah terpilih untuk lirik terbaik iaitu untuk lagu ‘Satu Malaysia’, ‘Cinta Malaysia’ dan ‘Semangat Anak Bangsa’ yang mana masing-masing membawa pulang wang tunai RM 500.

Sebanyak 8 buah lagu telah dipilih untuk ke final dan diiringi oleh sebuah orkestra yang terdiri dari 80 orang pemuzik serta dipersembahkan oleh barisan artis tanahair seperti Sahri AF, Nas Adila, Noraniza Idris dan Roy. Selain itu festival ini turut diwarnai dengan Pertandingan Melukis Tokoh Patriotik Malaysia.

Program yang merupakan kali kedua diadakan ini bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti promosi dan pembangunan sahsiah dikalangan warga kampus agar dapat melahirkan mahasiswa yang peka kepada persekitaran masyarakat khususnya pelajar sekolah. Disamping itu memupuk kerjasama dan kesedaran dalam penyertaan mahasiswa, kakitangan dan masyarakat ( banduan ) yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Turut hadir adalah Yang Berhormat Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM.

Oleh :

pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

Tel : 06-7988025/8026/8028


"PERMATA BONDA" MENANG DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA

Kota Kinabalu, 5 Ogos 2009 - Filem pendek "Permata Bonda" yang telah dihasilkan oleh pelajar komunikasi USIM jurusan penyiaran, telah memenangi kategori Filem Pendek Terbaik (Anugerah Perdana) di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang berlangsung di Centre Atrium 1 Borneo. USIM menerima hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM 15,000 yang telah diterima Prof. Dr. Naim Hj. Ahmad, pensyarah USIM selaku juri di FFM22 pada malam itu.

Filem pendek berdurasi kira-kira 15 minit ini melibatkan tenaga kerja profesional termasuk pelakon terkenal industri perfileman tanah air seperti Wan Maimunah dan Wan Nor Azlin. Pembikinan filem pendek ini turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Dr. Mahadi J. Murad, Pengarah filem terkenal.

Produksi filem pendek ini merupakan lanjutan daripada Bengkel Pengarahan dan Produksi Filem yang dianjurkan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM sekitar bulan November 2008. Bengkel yang dianjurkan khusus untuk pelajar tahun 4 (Jurusan Penyiaran) ketika itu mencetus idea cerita “Permata Bonda”.

Penghasilan filem berteraskan Islam serta penuh dengan nilai-nilai murni merupakan satu langkah yang diambil oleh Program Komunikasi bagi membawa nama USIM di arena perfileman tempatan dan antarabangsa.

Selain dinobatkan Filem Pendek Terbaik FFM ke-22, “Permata Bonda” turut memenangi ‘Audience Choice Award’ dalam pertandingan ASTRO KIRANA SHORT FILM AWARD 08/09 yang berlangsung pada 27 Februari 2009 yang lalu.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028




Wednesday, August 5, 2009

640 TERIMA IJAZAH DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-7 USIM

Tahniah diucapkan kepada Para Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan skrol pada 1 Ogos 2009 ini. Pada tahun ini USIM telah menghasilkan seramai 640 graduan yang terdiri daripada pelbagai lapangan bidang ilmu iaitu Diploma Siswazah, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD). Majlis Konvokesyen ini telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pengurniaan ijazah telah disempurnakan olleh Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Tuanku Canselor.

Pada tahun ini, seramai 21 orang graduan cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum telah menerima Anugerah Khas pada majlis konvokesyen tersebut. Anugerah ini ditentukan berdasarkan pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Antara Anugerah Khas yang diberikan adalah Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Canselor, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah Buku Universiti, Hadiah Buku Fakulti dan Hadiah Ko-Kurikulum.

Majlis Konvokesyen USIM ke-7 pada kali ini menyaksikan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) mengeluarkan seramai 24 orang graduan kumpulan sulungnya. Para graduan ini terdiri daripada 2 orang lelaki dan 22 orang perempuan yang merupakan kumpulan perintis bagi program Bahasa Arab dan Komunikasi Dengan Kepujian. Selain itu FPBU juga turut menganugerahkan skrol kepada 20 graduan sulung Diploma Lanjutan iaitu Diploma Pendidikan (Pendidikan Islam) yang berjaya menamatkan pengajian mereka.

Selain FPBU, 3 buah fakulti lain turut melahirkan graduan sulung untuk program pengajian masing-masing. Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) bakal mengeluarkan seramai 67 graduan untuk program pengajian Fiqh dan Fatwa dengan kepujian. Manakala Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) bakal melahirkan graduan sulung untuk dua program iaitu Pengajian Quran dengan Multimedia Dengan kepujian seramai 35 orang dan Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat Dengan Kepujian seramai 43 orang.

Fakulti Sains dan Teknologi sekali lagi menyaksikan graduan sulung bagi program Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) iaitu seramai 27 orang dan program Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) seramai 19 orang.

Sehingga kini graduan USIM telah menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding jumlah graduan pada konvokesyen tahun lepas. Perkembangan ini menunjukkan bahawa USIM telah berjaya menghasilkan graduan yang berkaliber dan bermutu tinggi yang memiliki ciri-ciri yang diperlukan dalam pasaran kerja pada hari ini serta dapat dibanggakan oleh masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028

PERJUMPAAN PEMANGKU PENDAFTAR DENGAN PAP

Nilai, 28 Julai 2009 – Atas sikap prihatin dan tanggungjawab kepada kakitangan di pelbagai peringkat, Pemangku Pendaftar USIM, En. Muhammad Haizuan Rozali telah mengadakan perjumpaan dengan semua Pembantu Am Pejabat (PAP) USIM.

Antara tujuan perjumpaan ini diadakan adalah untuk mengenalpasti masalah-masalah yang timbul dan memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan pendapat, idea dan pandangan yang mampu menaikkan imej universiti. En. Muhammad Haizuan berharap agar mereka semua tidak merasa terpinggir dan berusaha untuk meningkatkan prestasi kerjaya masing-masing.

Beliau juga menyarankan supaya semua Pembantu Am Pejabat diberi peluang mengikuti kursus komputer agar mereka tidak ketinggalan dalam arus teknologi masakini.

Beliau menyeru agar semua Pembantu Am Pejabat lebih berdisiplin dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-79088025/8026/8028

SEMINAR KEBANGSAAN MEDIA DAN PEMIKIRAN ISLAM 2009

Bangi, 21 Julai 2009 - Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Media dan Pemikiran Islam 2009 (MIST ’09) pada 21 hingga 22 Julai 2009 di Hotel Equatorial Bangi, Selangor.

Majlis perasmian MIST ’09 telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mejar Jeneral (B) Jamil Khir bin Baharom pada 21 Julai 2009 (Selasa) jam 8.30 malam, di Dewan Utama Hotel Equatorial Bangi Selangor.

Buat julung kalinya, pada malam perasmian tersebut diumumkan para pemenang Pertandingan Filem Pendek Bertemakan Nilai-Nilai Pemikiran Islam peringkat IPTA dan IPTS. Pemenang utama pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3000 serta piala iringan. Untuk kategori

MIST ’09 dihadiri oleh tokoh-tokoh pemikir dalam bidang Media dan Islam; antaranya Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, Prof Madya Dr. Syed Farid Alatas, dan Datuk Azman Ujang. Ketiga-tiga mereka akan membincangkan isu bertajuk “Islam in the Media Portrayed by Muslim and Non-Muslim” pada sesi plenary yang akan berlangsung pada 21 Julai 2009 jam 9.00 pagi.

Selain itu kira-kira 70 orang tenaga pakar akademik dan wakil daripada industri media tempatan dan antarabangsa akan membentangkan kertas kerja masing-masing, merangkumi bidang-bidang media dan Islam sepanjang dua hari seminar berlangsung.

Antara tema yang dibincangkan ialah Kesan Media dan Islam, Propaganda Media dan Islam, Media dan Fiqh, dan Perhubungan Antarabangsa, Media dan Islam.

Pengarah program merangkap felo kanan USIM, Mazni Buyong berkata seminar ini dilihat sebagai satu lagi usaha penting dalam membangunkan kepakaran dan modal insan yang terlatih di kalangan umat Islam dalam bidang media dan komunikasi massa.

“USIM menerusi Program Komunikasi cuba membawa dan mengetengahkan bentuk pemikiran Islam dalam setiap karya yang dihasilkan, khususnya dalam menyemai minda pelajar dengan nilai-nilai Islam dalam setiap proses sebaran maklumat. Ia secara tidak langsung dapat mengubah sudut pandangan khalayak secara keseluruhannya dalam melihat ketinggian nilai dan pemikiran Islam yang disebarkan menerusi representasi oleh media” , ujar Mazni.

Tambah beliau, seminar seperti ini diharap dapat memperbetulkan persepsi khalayak terhadap ideologi, imej dan kandungan berunsurkan Islam dalam setiap paparan media.

“Suntikan pemikiran dan elemen berunsurkan Islam dalam karya-karya media masa kini turut memberi wajah serta nafas baru dalam aliran sebaran maklumat. Ia memaparkan kekuatan sudut spiritual dalam penyampaian mesej kepada khalayak, yang seterusnya berupaya menjadi panduan dalam kehidupan, memberi peringatan serta pada satu tahap mampu mengubah persepsi dan tingkah laku khalayak”, tambah beliau lagi.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028