Thursday, February 11, 2010

TUANKU CANSELOR SERU WARGA USIM LEBIH PRODUKTIF

Tuanku Canselor menyeru agar warga USIM lebih produktif dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk menjadikan USIM sebagai universiti kelas pertama.

“Beta berharap USIM akan sentiasa maju berteraskan misi dan visi yang digalas oleh tampuk pimpinan yang baru,” titah baginda semasa pertemuan dengan Pengurusan Tertinggi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 5 Januari 2010 yang lalu di Istana Salatin, Seremban, Negeri Sembilan.

Tuanku Canselor turut mengharapkan agar USIM menjadi institusi ilmu terkemuka selain muncul sebagai sumber rujukan dalam mengamalkan nilai-nilai Islam yang tinggi.

Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi itu, bertujuan untuk memperkenalkan Naib Canselor USIM yang baru, yang diterajui oleh Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda dan memaklumkan persaraan Naib Canselor USIM yang pertama, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda turut memaklumkan perkembangan terbaru mengenai USIM, termasuk bilangan jumlah pelajar, kakitangan akademik serta pentadbiran. Disamping itu, beliau menyambut baik ucapan titah Tuanku Canselor dan beriltizam untuk memacu USIM sebagai sebuah institusi pendidikan bertaraf dunia.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Maha Mulia Tuanku Canselor di atas kepercayaan yang tinggi terhadap beliau dalam mentadbir USIM selama 10 tahun.

Turut hadir di majlis itu ialah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Pendaftar, En. Muhammad Haizuan Rozali, Pemangku Bendahari, En Zairul Hisham Ahmad Khulaimi, Ketua Pustakawan, En. Jasmin Jaimon, Pengarah Pembangunan, Ir. Daim Saian dan Pegawai Perhubungan Awam, Pn. Yusrina Mohd Yunus.


Oleh :
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT USIM
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058






No comments:

Post a Comment