Tuesday, October 27, 2009

49 PEGAWAI KADET PALAPES USIM DISERAH KEPADA UKM



Nilai, 21 Oktober 2009 – Seramai 49 Pegawai kadet PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri daripada 25 lelaki dan 24 wanita diserahkan kepada PALAPES UKM dalam satu majlis rasmi yang diadakan di kampus USIM di sini hari ini.

Upacara penyerahan dilakukan dengan menandatangani PLAKA penyerahan Pegawai Kadet PALAPES USIM kepada PALAPES UKM oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dengan di saksikan oleh Y.Bhg. Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli bin Mohd Zin, Timbalan Panglima Tentera Darat.

Dalam ucapannya, Y.Bhg. Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli bin Mohd Zin menyeru kepada semua Pegawai Kadet PALAPES agar penyertaan di dalam PALAPES ini tidak terhenti setakat di Universiti sahaja.

“Seharusnya para pelajar sekalian mengambil peluang untuk terus menabur bakti demi maruah negara dengan menyertai pasukan Askar Wataniah Malaysia setelah tamat pengajian di Universiti”, tambah beliau lagi.

Pegawai Kadet PALAPES USIM telah ditumpangkan ke PALAPES UKM bermula Semester I Sesi 2009/2010. Program kerjasama ini telah dipersetujui oleh Komandan PALAPES UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Penubuhan PALAPES USIM telah mendapat restu dari Panglima Tentera Darat untuk ditumpangkan kepada PALAPES UKM. Latihan kepada Pegawai Kadet diadakan pada hari Sabtu dan Ahad mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pelajar PALAPES USIM akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di UKM sama seperti pelajar PALAPES UKM yang lain.

Pemilihan UKM untuk melatih Pegawai Kadet PALAPES USIM adalah bertepatan dengan misi, visi dan objektif UKM yang merupakan IPTA yang pertama menubuhkan PALAPES dalam negara ini. Sehingga kini seramai 1,994 graduan UKM telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda PALAPES.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, walau pun USIM tidak dapat melaksanakan program PALAPES di USIM, tetapi kelulusan untuk melatih pelajar USIM sebagai PALAPES UKM membawa pengertian yang sangat bermakna.

“Saya kira ini merupakan langkah pertama bagi penubuhan PALAPES USIM sendiri. Terima kasih kepada Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,Naib Canselor UKM yang telah sudi menerima pelajar USIM menjalani latihan program PALAPES di sana”, tambah beliau lagi.

Latihan Pegawai Kadet PALAPES ini mengambil masa tiga tahun berturut-turut. Mereka akan menjalani latihan yang memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan komitmen.

“Walaupun demikian, saya berpendapat bahawa program ini amat baik bagi membina sahsiah diri setiap pelajar yang menyertainya dan sedaya upaya melatih semua pegawai kadet ini sebaik yang mungkin dengan bantuan dari barisan jurulatih PALAPES UKM”, kata Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM dalam ucapannya.



Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028




Friday, October 23, 2009

PERSADA USIM PEMANGKIN KEJAYAAN ANAK FELDA

Nilai, 18 Oktober 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengorak langkah dengan menganjurkan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa FELDA di Institusi Pengajian Tinggi 2009. Program ini adalah anjuran Sekretariat Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) yang merupakan Badan Pelajar yang baru ditubuhkan di USIM.

Hampir 500 mahasiswa dari 12 IPTA seluruh Malaysia menyertai Seminar ini. Antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Menurut Y.B Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, program ini merupakan kali pertama dianjurkan yang bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak FELDA di seluruh IPTA lain bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Program berbentuk ilmiah ini juga bertujuan melahirkan anak-anak FELDA yang bijak serta bermotivasi tinggi.

FELDA juga telah merancang pelbagai aktiviti seperti Latihan Kemahiran Generasi Baru sejak tahun 2005 bermatlamat melatih generasi baru FELDA dalam pelbagai bidang kemahiran dan vokasional di peringkat Sijil dan Diploma bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Seramai 22,038 pelatih telah dan sedang dilatih di bawah skim ini yang mana kursus-kursus yang ditawarkan adalah kursus yang berprofail tinggi serta mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran kerja seperti bidang kejuruteraan kapalterbang, perhotelan, pelancongan dan Trainee Junior Technician dengan kerjasama Malaysian Airlines System (MAS), Cadet Pilot dan Air Asia”, tambah Y.B Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan semasa merasmikan Seminar Kecemerlangan Mahasiswa FELDA di Institusi Pengajian Tinggi di kampus USIM hari ini.

Bagi Siti Khadijah Idris, 20, yang merupakan pelajar USIM dari Felda Kemasul, Triang Pahang, inisiatif USIM menganjurkan program sebegini supaya pewaris kepada generasi FELDA terus berusaha gigih untuk menjadi yang terbaik di antara yang terbaik dan menjadi wadah pemangkin kepada kejayaan anak-anak FELDA di arus perdana.

Menurut Norsabrina Mohd Anuar, 20, pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Felda Johor, Ulu Tebrau, seminar sebegini adalah sangat bagus untuk perkembangan anak-anak FELDA dan diharap dapat diperluaskan di peringkat antarabangsa dengan penyertaan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan juga swasta.

Wan Zainuddin Wan Mashom, 21, pelajar dari Universiti Malaya (UM) berkata, program ini merupakan salah satu cara bagi meningkatkan kecemerlangan anak FELDA untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028





Wednesday, October 21, 2009

KARNIVAL MAHASISWA (KARSIS '09) PEMACU MINDA PRAGMATIS

Nilai,11 Oktober 2009 - Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (MPP USIM) dibawah Sekretariat Naib Yang Dipertua (NYDP) telah menganjurkan Karnival Mahasiswa 2009 yang bertemakan “Mahasiswa Pemacu Minda Pragmatis” bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan USIM di Bandar Baru Nilai.

Karnival ini berlansung selama 10 hari bermula 2 hingga 11 Oktober 2009. Acara pembukaan Karsis 2009 ini telah dirasmikan oleh Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM di pentas utama Pusat Kemudahan Pelajar USIM.

“Kita mengharapkan dengan kedatangan USIM ke Nilai akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat seperti penganjuran Bakti Siswa dikalangan mahasiswa-mahasiswi USIM”, tambah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ketika memberi ucapan perasmian penutup di Masjid Qariah Kampung Batang Benar, Negeri Sembilan.

Penganjuran Karsis 2009 ini merupakan idea baharu MPP dalam memberi ruang kepada warga kampus mengenali dan memahami peranan mahasiswa di menara gading ini. Tambahan, penganjuran ini juga bertujuan menyatakan kebersamaan MPP dan badan-badan persatuan mahasiswa merealisasikan aspirasi 10 tahun penubuhan universiti Islam ini.

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan warga kampus adalah Konsert Simfoni Cinta Terindah bersama kumpulan Rabbani, Sidang Pleno Pemimpin Mahasiswa, Dialog 1Malaysia, National Talk yang membincangkan mengenai peranan mahasiswa dalam pembangunan ekonomi Negara dan lain-lain.

Yang Dipertua MPP USIM, saudara Muhammad Alif Ismail berkata, penganjuran Karsis 2009 julung-julung kali ini merupakan pentas baharu kepada mahasiswa USIM untuk melukis citra baharu terutamanya pembinaan kesarjanaan dalam institusi kemahasiswaan Islam di menara gading serta menyatakan kebersamaan dalam memastikan inspirasi USIM tercapai.

“Bersempena 10 tahun penubuhan USIM dan penganjuran KARSIS kali ini, marilah sama-sama kita kearah membina kesarjanaan dikalangan mahasiswa/si USIM yang berani dan ilmiah dalam menghadapi cabaran dan harapan 10 tahun USIM yang akan datang. Jadikanlah medium KARSIS ini sebagai tempat kita berpencak dengan rasional”, tambah beliau lagi.

Kemuncak penganjuran Karsis 2009 kali ini adalah program Bakti Siswa di kawasan Kampung Batang Benar. Program ini telah mendapat sambutan dan kerjasama yang baik daripada pihak kampung terutama JKKK dan Jawatankuasa Masjid Qariah Kampung Batang Benar. Hampir 50 orang mahasiswa dan mahasiswi USIM terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan ini.

“Kita mengharapkan dengan kedatangan USIM ke Nilai akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat seperti penganjuran Bakti Siswa dikalangan mahasiswa-mahasiswi USIM”, nyata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ketika memberi ucapan perasmian penutup di Masjid Qariah Kampung Batang Benar baru-baru ini.

Oleh :

Majlis Perwakilan Pelajar USIM

Wednesday, October 14, 2009

INOVASI USIM DI PECIPTA 2009



Kuala Lumpur, 9 Oktober 2009 – USIM menang satu perak dan tiga gangsa dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2009) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya. PECIPTA 2009 telah diadakan selama 3 hari bermula 8 hingga 10 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

‘New Source of Citral from Lemongrass Flower’s hasil ciptaan Prof. Madya Dr. Ahmed Mahir Mohamed Mokhtar Bakri berjaya memenangi pingat perak manakala ‘Rush Tea-Roselle Tablet Tea’ ciptaan Prof. Salmah Yusof, ‘Combat-PSDA’ dan ‘RecoTAC-E’ ciptaan En. Abd. Halim Mohd Hussin berjaya memenangi pingat gangsa.

USIM menghantar sebanyak 12 ciptaan dan inovasi yang terdiri daripada empat kategori iaitu Biosains dan Bioteknologi, Informasi dan Teknologi Komunikasi, Sains Fizik dan Kejuruteran serta Sains Sosial dan Kemanusiaan. Manakala satu inovasi iaitu ‘Multi-class Traffic Packet Switching’ oleh Prof. Dr. Kamaruzzaman Seman dipilih untuk menyertai pertandingan di Galeri Utama.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, PECIPTA 2009 bertujuan mempamerkan hasil, ciptaan dan inovasi yang dihasilkan oleh semua IPT di Malaysia dan juga luar negara. Selain itu, dapat membuka peluang kepada peserta menjalinkan tali silaturahim dan usahasama bagi membangunkan prototaip dan pengkomersilannya.

Antara objektif utama PECIPTA 2009 adalah untuk menyokong hasrat Kerajaan memacu pembangunan negara melalui penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan. Di samping itu, mempamer produk dan reka cipta IPT yang telah berjaya dikomersialkan serta memasarkan kepakaran penyelidikan berdaya saing setempat dan antarabangsa.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Y.B. Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028


Tuesday, October 13, 2009

USIM BERI SERVIS PERGIGIAN KEPADA KOMUNITI SETEMPAT

Pandan Indah, 7 Oktober 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mula mengorak langkah untuk memberikan servis kepada komuniti setempat. Selaras dengan itu Fakulti Pergigian (FPg) USIM menyediakan program khidmat masyarakat dengan pembukaan Unit Perkhidmatan Pergigian yang dilengkapi dengan kemudahan canggih meliputi 37 dental chairs, mesin pengimbas sinar-x dan lain-lain peralatan pergigian.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir bin Wan Othman, Dekan Fakulti Pergigian merangkap Ketua Projek Sistem e-Klinikal, USIM membelanjakan RM 30 juta dalam Rancangan Malaysia kelapan (RMK8) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk melengkapkan kemudahan ICT bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan tujuan penubuhan USIM dalam memartabatkan pendidikan Islam.

Unit Perkhidmatan Pergigian USIM mempunyai pelbagai fasiliti yang terdiri daripada Klinik Pergigian, Makmal Pergigian dan bilik X-Ray. Penubuhan unit ini adalah sebahagian daripada keperluan utama di dalam pendidikan pergigian. Ianya merupakan wadah bagi amalan klinikal (clinical practice) di peringkat sarjana muda. Fasiliti yang sedia ada juga akan diperluaskan untuk amalan klinikal pelajar pasca ijazah dalam pelbagai bidang kepakaran pergigian kelak.

Bagi memudahkan proses pengurusan rekod pesakit, Sistem e-Klinikal dibangunkan sebagai sistem sokongan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam penyimpanan rekod yang digunapakai di dua lokasi iaitu Unit Kesihatan Pelajar USIM di Kampus Nilai dan juga Unit Perkhidmatan Pergigian USIM Kampus Pandan Indah.

Sistem ini beroperasi sepenuhnya pada Julai 2009 dan ianya merupakan satu aplikasi sistem operasi perubatan yang lengkap dengan fungsi-fungsi tambahan seperti kemasukan data, penyelenggaraan, inquiry dan laporan secara interaktif.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM, pembinaan sistem e-klinikal ini adalah satu lagi usaha yang penting dalam rancangan strategik ICT USIM. Pembangunan dan pelaksanaan sistem e-klinikal ini diterajui oleh tiga jabatan iaitu Pusat Pengurusan Ilmu dan Teknologi Maklumat (PPITM), Fakulti Pergigian dan Unit Kesihatan Pelajar Hal Ehwal Pelajar.

Beliau berkata demikain pada Majlis Perasmian Unit Perkhidmatan Pergigian dan Pelancaran sistem e-klinikal di kampus cawangannya yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Objektif projek e-klinikal ini dibina adalah untuk membangunkan dan melaksanakan satu penyelesaian dalam mengintegrasikan maklumat perubatan pergigian pesakit serta meningkatkan operasi dengan lebih efisyen dalam perkhidmatan perubatan pergigian kepada pelajar, anggota-anggota USIM dan orang awam.

Sistem e-Klinikal merupakan antara kemajuan teknologi dalam menyediakan persekitaran ‘tanpa kertas’ (paperless), memudahkan pengurusan pendaftaran dan rekod pesakit. Ini bermakna proses untuk menganalisis data pesakit dan inventori dapat dilakukan dengan mudah seterusnya memastikan operasi yang dilakukan adalah secara berterusan.

Kemudahan yang disediakan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dan menjadikan USIM sebagai salah satu pusat rujukan dalam perkhidmatan rawatan pergigian dan rekod pesakit di Malaysia.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
06-7988025/8027/8028

Friday, October 9, 2009

USIM FOKUS PETUNJUK PRESTASI UTAMA

Seremban, 2 Oktober 2009 – Pusat Pengembangan Akademik USIM telah menganjurkan Bengkel Kursus Indek Petunjuk Prestasi Utama dan Balanced Scorecard(BSC) pada 2 hingga 4 Oktober 2009 bertempat di Klana Resort, Seremban Negeri Sembilan.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang terdiri dari Encik Megat Akbaruddin Megat Ismail, Pengarah Pengurusan Amalan Terbaik MPC, Encik Daud Talib dan Encik Rosmi Abdullah. Seramai 25 peserta yang terdiri dari Pegawai Kanan USIM telah menyertai bengkel ini.

Bengkel ini menekankan tentang perlunya kepada penelitian yang lebih fokus dalam menghadapi era globalisasi yang menjadikan pengurusan organisasi masa kini lebih mencabar. Justeru itu perlunya satu pengukuran prestasi yang lebih seimbang untuk memastikan organisasi terus relevan dan berdaya saing.

Balanced Scorecard (BSC) pula adalah satu sistem pengurusan yang sistematik dan komprehensif yang mengintegrasi pengukuran prestasi berpandukan strategi, operasi dan kewangan. Para peserta didedahkan dengan konsep visi, misi dan strategi BSC.

Antara objektif bengkel ini adalah untuk membina pengukuran prestasi organisasi. Di samping itu memahami keberkesanan dan membolehkan peserta menggunakan BSC sebagai fungsi kawalan pengurusan dalam organisasi yang berkesan.

Oleh : Siti Maizatul Akmar Ismail
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

USIM FOKUS PETUNJUK PRESTASI UTAMA

Seremban, 2 Oktober 2009 – Pusat Pengembangan Akademik USIM telah menganjurkan Bengkel Kursus Indek Petunjuk Prestasi Utama dan Balanced Scorecard(BSC) pada 2 hingga 4 Oktober 2009 bertempat di Klana Resort, Seremban Negeri Sembilan.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang terdiri dari Encik Megat Akbaruddin Megat Ismail, Pengarah Pengurusan Amalan Terbaik MPC, Encik Daud Talib dan Encik Rosmi Abdullah. Seramai 25 peserta yang terdiri dari Pegawai Kanan USIM telah menyertai bengkel ini.

Bengkel ini menekankan tentang perlunya kepada penelitian yang lebih fokus dalam menghadapi era globalisasi yang menjadikan pengurusan organisasi masa kini lebih mencabar. Justeru itu perlunya satu pengukuran prestasi yang lebih seimbang untuk memastikan organisasi terus relevan dan berdaya saing.

Balanced Scorecard (BSC) pula adalah satu sistem pengurusan yang sistematik dan komprehensif yang mengintegrasi pengukuran prestasi berpandukan strategi, operasi dan kewangan. Para peserta didedahkan dengan konsep visi, misi dan strategi BSC.

Antara objektif bengkel ini adalah untuk membina pengukuran prestasi organisasi. Di samping itu memahami keberkesanan dan membolehkan peserta menggunakan BSC sebagai fungsi kawalan pengurusan dalam organisasi yang berkesan.

Oleh : Siti Maizatul Akmar Ismail
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

Tel : 06-7988025/8026/8027/8028