Thursday, January 14, 2010

TAHUN 2010 : MEMARTABATKAN CITRA USIM

Bandar Baru Nilai, 4 Januari 2010 – ”Memimpin USIM memasuki dekad kedua adalah satu amanah besar. Saya mengharapkan sokongan seluruh warga USIM khususnya Y.Bhg. Mantan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin”, ungkap Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda di Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor USIM 2010 disini hari ini.

Dalam ucapannya beliau menyeru agar semua warga USIM bersatu padu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan membangunkan Universiti dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur dan bersungguh-sungguh.

Beliau menekankan tentang 6 perkara yang merupakan penumpuan NKRA USIM iaitu menghasilkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi, program yang diiktiraf dan tersohor didalam dan luar negara, membangunkan cendekiawan dan pendita Islam, melahirkan modal insan berinovasi, mengurus kewangan secara berhemah dan membudayakan amalan kerja berintergriti.

”USIM sebagai sebuah menara gading yang berkhidmat kepada ilmu dan ’seeking knowledge for the sake of finding the truth’ akan tetap diukur dari segi penghasilan serta kualiti penyelidikan dan inovasinya. Diharapkan USIM dapat mencapai status sebagai sebuah ’Research Universiti’ dalam jangkamasa lima tahun akan datang”, tambah beliau lagi.

Beliau turut menyatakan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Mantan Naib Canselor, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin kerana telah berjaya meletakkan asas yang kukuh untuk USIM terus berkembang maju.

Turut diselitkan, Majlis Penyerahan Tugas oleh Mantan Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin kepada Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Dalam ucapannya, Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor berkata, masa adalah satu penantian lama bagi mereka yang tidak berbuat apa-apa dan masa adalah sangat singkat bagi seseorang yang merancang dan melaksanakan. Justeru itu beliau berharap agar semua warga USIM bekerjasama dalam memartabatkan Citra USIM.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad Daud & Siti Maizatul Akmar Ismail
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028



No comments:

Post a Comment