Thursday, December 10, 2009

PROF. DATO’ DR. MUHAMAD MUDA NAIB CANSELOR KEDUA USIM

Nilai, 10 Disember 2009 – Y.B Menteri Pengajian Tinggi Malaysia telah bersetuju melantik Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda sebagai Naib Canselor yang baru universiti itu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Disember 2009 hingga 30 November 2012.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, yang merupakan ‘arkitek’ perintis USIM selama 10 tahun dan telah menamatkan perkhidmatan sebagai Naib Canselor pertama USIM pada 28 November 2009.

Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda memulakan kerjaya di USIM sebagai Dekan Fakulti Ekonomi & Muamalat bermula tahun 2001 hingga 2007. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta mempelopori penawaran program pengajian Ekonomi dan Muamalat. Kemudian beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa sehingga 31 November 2009 lalu.

Sebagai Naib Canselor USIM yang kedua, beliau meletakkan fokus dan matlamat untuk memastikan USIM menjadi sebuah institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat dan Islam serta terus menjadi daya sinergi perjuangan warganya agar pembentukan generasi cemerlang dan masyarakat berilmu yang holistik dapat digarap.

Pengalaman beliau sebelum ini sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa dan Dekan Fakulti mampu menjadi aspirasi untuk menggerakkan kecemerlangan USIM berlandaskan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

Oleh :
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Wednesday, December 9, 2009

USIM JUARA DEBAT BAHASA ARAB PIALA DIRAJA IPT 2009

Kuala Lumpur, 7 Disember 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung-julung kalinya muncul juara Pertandingan Debat Diraja IPT 2009 dalam dua kategori iaitu Johan Debat Bahasa Arab kategori Utama dan Johan Debat Bahasa Melayu Kategori Muda dalam tempoh 10 tahun penubuhan USIM.

Pertandingan yang berlangsung di Universiti Malaya pada 4 hingga 7 Disember 2009 merupakan acara tahunan anjuran Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM). Pasukan debat bahasa arab USIM yang diwakili oleh Mohd Najib Taha, Hisham Hanapi, Mohd Izzat Amsyar dan Ahmad Shahir berjaya menewaskan juara bertahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). USIM bertindak sebagai kerajaan manakala UIAM bertindak sebagai pembangkang berhujah di atas tajuk “Menghantar pelajar untuk menyambung pengajian di Universiti bukan Islam merosakkan akhlak mereka”.

USIM juga mencipta sejarah buat kali pertama apabila muncul juara debat bahasa melayu kategori muda. USIM membariskan empat pendebat iaitu Ammar Shahrim, Mohd Azri Naim, Mohd Shahizad Saleh dan Anis Nazurah Abd Mokhti berjaya menewaskan pasukan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang membahaskan tajuk “Krisis pemanasan global : kita sudah terlambat”.

Menurut Ammar Shahrim, “Kejayaan ini amat bermakna buat kami atas usaha keras pendebat, bimbingan daripada jurulatih, sokongan pihak pengurusan USIM yang tidak berbelah bahagi dan kemenangan ini sekaligus menamatkan penantian 10 tahun penglibatan USIM dalam debat diraja IPT”.

Mohd Najib Taha, pendebat bahasa arab USIM pula berkata “Kami tidak menjangkakan kemenangan ini kerana kami berdepan dengan juara bertahan UIAM dan Alhamdulillah kami berjaya menumbangkan mereka. Ini juga adalah hadiah sempena 10 Tahun penubuhan USIM dan hadiah perlantikkan Naib Canselor baru USIM Prof Dato’ Dr Muhammad Muda”.

Bagi Kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh pasukan Universiti Islam Aantarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menewaskan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) manakala kategori Bahasa Melayu Utama dimenangi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengalahkan pasukan daripada Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Juara kategori Muda dan Utama masing-masing menerima hadiah wang ringgit berjumlah RM 3,000, Sijil Penyertaan, Piala Pusingan dan Piala Iringan. Hadiah dan cenderamata disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tan Sri Datuk Arshad Ayub dan Naib Canselor Universiti Malaya Professor Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad Daud
Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam
hariri@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028





Monday, December 7, 2009

FESTKUM 2009 GABUNG BUDAYA SATU MALAYSIA

Kuala Lumpur, 2 Disember 2009 – Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FESTKUM) merupakan merupakan satu wadah menggabungkan kesemua penganjuran program kebudayaan dan kesenian bersifat gala dan tersusun. FESTKUM 2009 menggabungkan pelbagai bidang kesenian pelbagai kaum dalam satu penganjuran berkonsep pertandingan seni yang pertama kali diadakan di Malaysia.

Bersempena dengan FESTKUM yang bakal berlangsung pada 9 hingga 13 Disember 2009, satu majlis pelancaran sidang promosi telah diadakan di Istana Budaya , Kuala Lumpur yang telah disempurnakan oleh Y.B Dr. Hou kok Chung, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Majlis ini dianjurkan oleh Unit Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).

“FESTKUM merupakan satu konsep kreatif dan idea seni yang pertama kali diperkenalkan melalui acara-acara seni yang melibatkan gabungan 1 Malaysia mahasiswa IPTA”, kata beliau di sini hari ini.

“Kebudayaan dan kesenian adalah satu komponen yang dapat membentuk kesepakatan masyarakat Malaysia melalui sikap saling hormat-menghormati budaya masing-masing”, tambah beliau lagi.

Sebanyak 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada 1391 mahasiswa menyertai festival ini. Terdapat lapan acara seni yang dipertandingkan seperti boria, dikir barat, pantun, Muzik Akustik, Tarian Zapin, Cina dan India. Festival ini akan diadakan di empat buat tempat iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bertemakan ‘Satu Budaya’ yang menggambarkan aspirasi kerajaan yang memperkenalkan slogan ‘1 Malaysia’, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” , FESTKUM berupaya mengharmonikan aktiviti-aktiviti dikalangan warga sarjana malah dapat memberi kesan yang lebih positif, kerjasama yang lebih terpimpin dan berkualiti.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028





Saturday, December 5, 2009

PENDAKWAH MUDA JANA TRANSFORMASI UMMAH

Nilai, 22 - 25 November 2009 – Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Konvensyen Pendakwah Muda Malaysia Peringkat Nasional (WEHDAH ‘09). Program ini telah mendapat kerjasama serta sumbangan kewangan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Seramai 639 peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Awam dan Swasta di Malaysia menyertai konvensyen ini. Antaranya adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universti Teknikal Melaka (UTEM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pelbagai Pengisian telah dijalankan seperti Wacana, bengkel, sesi forum, sesi ESQ 165 dan sebagainya. Sesi Wacana dan forum menampilkan penceramah yang hebat dan berpengalaman seperti Dato’ Hj. Nakhaie Ahmad, Ustaz Kalam Mazad, Ustaz Shah Kirit Kalkul Govindji dan lain-lain.

Konvensyen Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan 2009 yang bertemakan ‘Generasi Muda Menjana Transformasi Ummah’ bertujuan menyatukan generasi muda Islam dan mengumpulkan idea-idea yang bernas dalam menentukan hala tuju dan peranan golongan generasi muda yang sebenar dalam masyarakat masakini. Di samping itu memberikan gambaran dan maklumat sebenar berkaitan isu, cabaran dan realiti sebenar keadaan masyarakatserta hubungkait dengan keperluan untuk berdakwah terutama kepada golongan generasi muda.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah INFAD, Prof. Dr. Mohammad Haji Alias. Dalam ucapannya beliau berharap agar program dakwah seperti ini seharusnya diberi perhatian dan penekanan oleh semua mahasiswa sebagai satu program penting dengan formulasi baru dalam aktiviti dakwah.


Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028





Friday, December 4, 2009

USIM JUARA PERTANDINGAN LAMAN WEB KPT 2009

Putrajaya, 24 November 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah muncul sebagai juara keseluruhan Pertandingan Laman Web Tahun 2009 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. USIM juga telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Laman Web kategori Institusi Pengajian tinggi Awam (IPTA) mendahului 19 IPTA yang lain. Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Malaysia Perlis (Unimap) manakala tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Putra Malaysai (UPM).


Kemenangan ini merupakan kali kedua buat USIM di mana pada tahun 2008, USIM telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Laman Web kategori IPTA. Pada tahun ini USIM berjaya mengekalkan kedudukannya di tempat pertama dan menjadi juara keseluruhan hasil kerja keras Jawatankuasa Laman Web USIM yang bertungkus lumus menyumbangkan idea dan tenaga dalam proses penyediaan laman web.

Proses penilaian bagi Pertandingan Laman Web Tahun 2009 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diadakan pada bulan Mei yang lalu dan sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan. Kategori-kategori tersebut adalah KPT/Jabatan/Agensi di bawahnya, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang sekaligus merasmikan Hari Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2009 di sini hari ini.

Dalam ucapan Y.B Dato’ Seri Menteri, beliau memaklumkan bahawa Sambutan Hari Inovasi adalah merupakan saranan dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang meminta agar Hari Kualiti ditukar kepada Hari Inovasi.

“Inovasi adalah merupakan elemen yang penting dalam memastikan perkhidmatan yang cemerlang. Ianya perlu diterapkan kepada semua warga KPT di pelbagai peringkat, jabatan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutamanya dalam cara berfikir dan tindakan agar relevan dengan dunia semasa”, tambah beliau lagi.

Turut hadir mewakili USIM di Majlis Hari Inovasi KPT 2009 adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Prof Dato' Dr. Muhammad Muda, Pengarah Pusat Pengurusan Ilmu dan Teknologi Maklumat (PPITM), Dr. Kamaruddin Sa'adan dan Pengarah Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat (PPSHK), Puan Putri Saniah Megat Abd Rahman.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028



Tuesday, November 24, 2009

KERJASAMA USIM-IFA INDIA MARTABAT INSTITUSI FATWA

Nilai, 12 November 2009- Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)dan Islamic Fiqh Academy of India (IFA-India) berhasrat mewujudkan suatu kerjasama yang bertujuan untuk memartabatkan Institusi fatwa supaya sentiasa terkehadapan dalam mendepani kemaslahatan umat islam sejagat. Dengan itu, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman telah diadakan bagi memenuhi hasrat ini.

Hubungan kerjasama ini bertepatan dengan hasrat INFAD untuk menjadi sebuah institusi penyelidikan, perundingan dan pusat pengurusan maklumat berkaitan fatwa bertaraf dunia yang berwibawa serta dikenali dan mendapat pengiktirafan semua peringkat sama ada tempatan, serantau atau antrabangsa. Skop hubungan kerjasama ini meliputi segi pengurusan fatwa, penyelidikan, seminar dan latihan, khidmat kepakaran, penerbitan.

Memorandum ini telah ditandatangani oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM dan En. Muhamad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM. Manakala pihak IFA India diwakili oleh Sheikh Badrul Hasan Al-Qasimi, Naib Presiden Islamic Fiqh Academy (IFA) India dan Sheikh Khalid Saifullah Al-Rahmani, Setiausaha Am Islamic Fiqh Academy (IFA) India.


Oleh :
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Tel : 06-7988592/8588/8590







Friday, November 13, 2009

20 IMAM MUDA NEGARA CHINA TAMAT KURSUS DI USIM

Nilai, 11 November 2009 – Seramai 20 Imam Muda dari Negara China dirai dalam satu majlis anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) disini hari ini. Majlis tersebut adalah bersempena Kursus Imam Muda Negara China buat kali ke-4 di USIM.

Kursus ini dijalankan selama enam bulan di Malaysia bertempat di tiga buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan destinasi terakhir adalah di USIM. Ianya juga mendapat kerjasama dari pihak Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).

Kursus yang dijalankan di USIM berlangsung pada 19 Oktober hingga 13 November 2009. Mereka menjalani kursus bermula hari isnin hingga jumaat. Manakala setiap hari sabtu dan ahad para peserta akan mengikuti aktiviti luar yang dianjurkan oleh pihak MACMA.

Antara matlamat kursus ini adalah melahirkan golongan imam dari Negara China yang mampu menguasai bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam dengan baik di samping melahirkan golongan imam dari Negara China yang berketrampilan dan berdaya saing.

Pada tahun 2006, 2007 dan 2008, USIM telah berjaya menganjurkan kursus selama sebulan untuk imam-imam muda Negara China. Bagi meneruskan kesinambungan usaha USIM memberikan sumbangan kepada umat Islam seluruh dunia, maka pihak USIM sekali lagi bersetuju menjadi penganjur untuk ursus Imam Muda Negara China buat kali ke-4.

Menurut Puan Marlina Wong, wakil dari MACMA selaku pegawai pengiring kepada peserta kursus Imam Muda Negara China, kedatangan Imam Muda dari negara China telah membawa satu tenaga dan gelombang yang sangat kuat dalam lapangan Islam di negara China terutama dalam membimbing golongan mualaf ke arah pertukaran dari bukan muslim kepada muslim sejati.

Kedatangan mereka ke Malaysia bukan sahaja untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama, tetapi lebih kepada jalinan ukhuwah sesama umat Islam disamping mencari peluang jalinan kerjasama di antara satu negara dengan negara lain. USIM di pilih kerana dilihat mampu memberikan pengajaran yang berkesan kepada imam-imam muda Negara China memandangkan bahasa perantaraan yang digunakan adalah bahasa Arab dan Inggeris.

Kebanyakan mereka berasal dari Gangsu, Yunnan, Sichuan, Hainan dan Ningxia. Rata-rata peserta berumur dari 22 hingga 44 tahun dan ada yang sudah berkahwin. Kebanyakan mereka bekerja sebagai Imam-Imam di masjid, pengetua kolej dan penterjemah bahasa arab di negara mereka. Ada di antara mereka merupakan lepasan pelajar dari Mesir, Pakistan dan Syria.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028