Tuesday, March 16, 2010

MPP USIM 2009/2010 JANJI BERI KHIDMAT TERBAIK

Bandar Baru Nilai, 9 Februari 2010 – Bertunjangkan frasa ‘Memacu ke Arah Mahasiswa Holistik, Dinamik dan Matang” menjadi visi utama barisan kepimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk sesi 2009/2010 yang terkandung dalam ucapan dasar YDP MPP dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP USIM.

Berpaksikan kepada slogan MPP “Synergic, Responsive, Concern”, MPP USIM pada sesi kali ini telah menggariskan 4 misi utama dalam menterjemahkan teras kepimpinan mereka. Misi tersebut meliputi Kecemerlangan Ilmu dan Pembangunan Sahsiah Diri, Cakna Kebajikan Mahasiswa, Kepimpinan Melalui Teladan dan budaya inovasi dan Pengantarabangsaan.

Menurut Yang Dipertua MPP USIM Sesi 2009/2010, Saudara Muhammad Hilmi Juhari, bagi memastikan kecemerlangan ilmu dan pembangunan sahsiah diri dapat dihayati oleh mahasiswa USIM, MPP USIM komited menekankan budaya ilmu dalam membantu pihak universiti untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang secara holistik.

“Justeru, kami berhasrat untuk membudayakan intelektual mahasiswa USIM melalui seminar, konvensyen, diskusi ilmiah dan sebagainya agar dapat membuka kerangka pemikiran mahasiswa USIM ke arah mendepani isu semasa”, kata Muhammad Hilmi sewaktu menyampaikan ucapan dasar Yang Dipertua sempena Majlis Penyampaian Watikah MPP USIM sesi 2009/2010 di sini hari ini.

Dalam usaha untuk membudayakan Inovasi dan Pengantarabangsaan, barisan kepimpinan USIM tekad menyahut hasrat dan seruan kerajaan untuk memastikan peranan utama mahasiswa dalam melahirkan idea yang kreatif dan kritis dalam mencipta inovasi baru.

“Cabaran pengurangan bajet bukanlah menjadi halangan dan kekangan untuk kita melaksanakan misi inovasi dan pengantarabangsaan untuk terus maju ke hadapan”, tambah beliau lagi.

Muhammad Hilmi tidak meletakkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua MPP sebagai satu keistimewaan. Sebaliknya beliau menganggap ianya sebagai satu cabaran dan kewajipan yang wajib dilaksanakan dengan jujur dan amanah.

“Kepimpinan yang bersandarkan kepada teladan ataupun qudwah hasanah, akan menatijahkan perancangan, pengurusan dan output yang berkesan, kata beliau.

Bagi memantapkan agenda dan memacu visi MPP ini, beliau turut menamakan 5 ahli Majlis Tertinggi yang terdiri daripada Saudara Abdullah Long sebagai Naib Yang dipertua 1, Saudari Akalili Zubair sebagai Naib Yang dipertua 2, Saudara Mohd Hazimin Harun dipilih sebagai Setiausaha Agung, Bendahari pula telah diamanahkan kepada Saudara Muhammad Tobrani Mohammad Yusof.

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USIM telah diadakan pada 21 Januari 2010 yang lalu. Sebanyak 24 kerusi dipertandingkan. Seramai 39 calon bertanding di mana 24 calon bertanding untuk merebut 16 kerusi Kawasan Fakulti dan 15 orang calon bertanding untuk merebut 8 kerusi Kawasan Umum. Seramai 4360 pelajar keluar mengundi pada tahun ini menjadikan peratus kehadiran sebanyak 91.06%. Seperti tahun sebelumnya, USIM terus melaksanakan pemilihan MPP secara on-line melalui sistem e-UNDI. Sistem ini telah digunapakai sejak tahun 2006.

Majlis Penyampaian Watikah diakhiri dengan penyerahan tugas oleh saudara Muhammad Alif Ismail, Mantan Yang Dipertua MPP USIM kepada saudara Muhammad Hilmi Juhari sebagai simbolik pertukaran pucuk pimpinan baru barisan kepimpinan pelajar.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028





No comments:

Post a Comment