Sunday, January 31, 2010

ANUGERAH KECEMERLANGAN SISWA TINGKAT MOTIVASI PELAJAR

Sepang, 8 Januari 2010 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat kali keduanya telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa USIM 2009 bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA.

Majlis tersebut merupakan malam kemuncak pengiktirafan pencapaian dan sumbangan kepada pelajar USIM diatas kecemerlangan yang telah dicapai. Usaha ini dilihat dapat meningkatkan minat serta menambahkan softskills dikalangan pelajar melalui penglibatan di dalam program-program pembangunan sahsiah dan seterusnya menghargai sumbangan dan ketokohan mereka.

Sebanyak 10 anugerah yang terdiri daripada 15 kategori telah dianugerahkan kepada pelajar/kumpulan/pasukan/badan pelajar yang dicalonkan berdasarkan sistem merit yang dibangunkan. Anugerah –anugerah itu antaranya ialah Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Cemerlang Sukan, Anugerah Cemerlang Seni, Anugerah Cemerlang Kepimpinan, Anugerah Perdana Siswa, Anugerah Khas HEP dan beberapa anugerah lagi.

Antara objektif majlis ini adalah menghargai sumbangan dan pencapaian para pelajar dalam program-program kemahasiswaan di samping menjadi tanda aras kepada penambahbaikan program-program kemahasiswaan. Selain itu menarik minat lebih ramai pelajar untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan sahsiah.

Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda, Naib Canselor USIM dalam ucapannya menyatakan, majlis seumpama ini adalah satu budaya yang patut diteruskan bagi meningkatkan motivasi dalam diri pelajar serta meningkatkan semangat berpersatuan di kalangan mereka. Di samping itu, ia juga memperlihatkan bahawa pihak pengurusan universiti menerusi Bahagain HEP sentiasa member sokongan dan menghargai sumbangan para pelajar yang aktif dan berbakat dalam mengendalikan pelbagai program sama ada di peringkat universiti, komuniti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Tambah beliau, “7 aspek Kemahiran Insaniah yang akhirnya akan membentuk para pelajar menjadi seorang individu yang berpersonaliti unggul iaitu komunikasi, kepimpinan, kerja berkumpulan, pemikiran kritis, nilai dan etika, pembelajaran sepanjang hayat dan keusahawanan”.

Dalam majlis ini, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang Saudara Mohd Razlan Ahmad dan Saudari Nurul Hayati Chamhuri dari Fakulti Perubatan telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Sisiwa serta Anugerah Perdana Siswi. Masing-masing menerima wang tunai RM 300, trofi dan sijil penghargaan. Urusetia Sukan & Rekreasi pula dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Emas yang mengalahkan 20 persatuan pelajar lain serta menerima sebuah notebook, trofi dan sijil penghargaan.

Mantan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas HEP sebagai penghargaan diatas jasa dan bakti beliau dalam memberi sokongan padu kepada kecemerlangan aktiviti pelajar.

Mohd Razlan berkata, “di antara krateria yang membolehkan pelajar menerima anugerah yang dipertandingkan ini ialah aktif dalam ko-kurikulum dan cemerlang dalam akademik. Secara tidak langsung AKSIS telah menjadi batu loncatan untuk pelajar terus meneroka kegemilangan buat universiti”.

“ Saya sudah 4 tahun di USIM dan tahun ini adalah tahun terakhir sebelum saya tamat pengajian ijazah sarjana muda. Jesteru, anugerah ini adalah kemuncak segala jerih payah saya selepas aktif melibatkan diri dalam aktiviti persatuan untuk menaikan nama baik USIM” katanya.

Oleh :
Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud
Unit Komunikasi Korporat
hariri@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058





Friday, January 29, 2010

JPS NEGERI SEMBILAN KONGSI AMALAN 5'S DI USIM

Nilai, 12 Januari 2010 – Seramai 25 kakitangan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari seluruh daerah Negeri Sembilan seperti daerah Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Port Dickson, Tampin dan Rembau mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Puan Roslinda Abdullah, Penolong Pembantu Teknik Kanan JPS Daerah Seremban, Negeri Sembilan telah mengetuai lawatan ini. Menurut beliau tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai amalan 5’s di USIM.

Program 5’s dipopularkan dan dipraktikkan di negara Jepun. Ia begitu popular pada masa kini sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Amalan 5’s merupakan pendekatan yang berkesan untuk motivasikan pekerja, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa. 5’s dalam bahasa melayu bermaksud sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal.

Menurut, En. Mohd Salehudin Sukor, Penolong Pendaftar Unit Pengurusan Kualiti selaku Penyelaras 5’s, hampir 2 tahun amalan 5’s diaplikasikan di USIM. Untuk permulaan USIM telah mendapat khidmat nasihat dari Syarikat Integrated Kaizen dan pada 27 Mei 2007 USIM telah melancarkan amalan 5’s di peringkat USIM.

“Sehingga kini kami meneruskan amalan 5’s dengan membuat audit jabatan setiap bulan bagi memastikan semua warga USIM sentiasa mengamalkan pendekatan 5’s”, tambah beliau lagi.

“Untuk memastikan amalan 5’s berterusan di kalangan warga USIM, Unit Pengurusan Kualiti telah menganjurkan pertandingan jabatan cemerlang yang akan diumumkan pada setiap bulan di Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan USIM”, kata beliau semasa menyampaikan taklimat mengenai 5’s.

Turut diadakan sesi lawatan ke Jabatan Pendaftar, Bendahari dan Canselori supaya mereka lebih memahami pendekatan amalan 5’s untuk diaplikasikan di tempat kerja mereka.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028/8058

USIM JALINKAN KERJASAMA DENGAN MENTERI MENTOR

Putrajaya, 7 Januari 2010 – Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah melantik Menteri Kabinet sebagai Menteri Mentor bagi semua 20 IPTA untuk merapatkan lagi hubungan baik Universiti dan Menteri Kabinet. Peranan Menteri Mentor menjadi satu anjakan paradigma baru dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi membangun kualiti pengajian tinggi khususnya di IPTA.


Saranan dan hasrat ini disambut baik oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengadakan pertemuan dengan Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom selaku Menteri Mentor USIM.

Pertemuan yang diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihadiri oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda serta Ahli Majlis Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia. Turut hadir dalam pertemuan ini Setiausaha Politik Y.B Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Y.B Haji Sahbudin bin Haji Yahaya.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda berkata, pertemuan ini diatur untuk membolehkan USIM beramah mesra dengan Menteri Mentor sekali gus membentangkan Key Result Areas (KRAs) dan aktiviti yang akan dijalankan di USIM sepanjang tahun 2010.

Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom dalam ucapannya berkata, beliau menyambut baik peranan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan bersedia untuk membantu serta memberi idea kepada pembangunan fizikal dan intelektual di USIM.

Menurutnya, “USIM berpotensi besar dalam melahirkan pendakwah dan tokoh agama berwibawa untuk merancakkan arena dakwah di Malaysia khususnya. Permintaan tenaga kerja yang berlatarbelakang pengajian Islam sangat diperlukan di Malaysia seperti di institusi perbankan, kewangan Islam dan institusi dakwah”.

Selain itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pemimpin mahasiswa dan seluruh mahasiswa USIM disamping beramah mesra dengan mereka.

Tambah beliau “Alam mahasiswa adalah alam yang penuh dengan cabaran untuk meningkatkan daya fikir intelektual, mencari identiti diri dan merencana masa depan. Justeru, pegangan agama dan jati diri menjadi benteng ampuh dari pelbagai cabaran dunia tanpa sempadan”.

USIM juga telah mengatur beberapa program dan aktiviti bersama Menteri Mentor yang turut melibatkan pelajar dan kakitangan USIM seperti Perhimpunan bulanan USIM, sambutan 10 Tahun USIM, Sambutan Maulidur Rasul dan banyak lagi.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad daud
Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam
hariri@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Thursday, January 14, 2010

TAHUN 2010 : MEMARTABATKAN CITRA USIM

Bandar Baru Nilai, 4 Januari 2010 – ”Memimpin USIM memasuki dekad kedua adalah satu amanah besar. Saya mengharapkan sokongan seluruh warga USIM khususnya Y.Bhg. Mantan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin”, ungkap Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda di Majlis Perutusan dan Amanat Naib Canselor USIM 2010 disini hari ini.

Dalam ucapannya beliau menyeru agar semua warga USIM bersatu padu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan membangunkan Universiti dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur dan bersungguh-sungguh.

Beliau menekankan tentang 6 perkara yang merupakan penumpuan NKRA USIM iaitu menghasilkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi, program yang diiktiraf dan tersohor didalam dan luar negara, membangunkan cendekiawan dan pendita Islam, melahirkan modal insan berinovasi, mengurus kewangan secara berhemah dan membudayakan amalan kerja berintergriti.

”USIM sebagai sebuah menara gading yang berkhidmat kepada ilmu dan ’seeking knowledge for the sake of finding the truth’ akan tetap diukur dari segi penghasilan serta kualiti penyelidikan dan inovasinya. Diharapkan USIM dapat mencapai status sebagai sebuah ’Research Universiti’ dalam jangkamasa lima tahun akan datang”, tambah beliau lagi.

Beliau turut menyatakan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Mantan Naib Canselor, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin kerana telah berjaya meletakkan asas yang kukuh untuk USIM terus berkembang maju.

Turut diselitkan, Majlis Penyerahan Tugas oleh Mantan Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin kepada Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Dalam ucapannya, Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor berkata, masa adalah satu penantian lama bagi mereka yang tidak berbuat apa-apa dan masa adalah sangat singkat bagi seseorang yang merancang dan melaksanakan. Justeru itu beliau berharap agar semua warga USIM bekerjasama dalam memartabatkan Citra USIM.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad Daud & Siti Maizatul Akmar Ismail
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028



Thursday, January 7, 2010

KEJOHANAN INTERVARSITI JANA PROFESIONAL PERGIGIAN

Bandar Baru Nilai, 26 Disember 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menang dua emas dalam pertandingan tenis bergu lelaki dan bola jaring dalam Kejohanan Sukan Intervarsiti Fakulti Pergigian IPTA 2009 anjuran Fakulti Pergigian USIM dengan kerjasama Pusat Sukan USIM. Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara keseluruhan dalam kejohanan tersebut menewaskan 6 universiti awam yang lain.

Kejohanan kali ke-4 ini mula di ilihamkan sejak tahun 2006 dan merupakan sebahagian dari usaha Fakulti Pergigian USIM dan Pusat Sukan untuk mempromosikan sambutan 10 tahun USIM yang telah di lancarkan Oktober lalu oleh Tuanku Canselor.

Sebanyak 6 universiti awam yang mempunyai fakulti pergigian turut serta dalam kejohanan ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pasukan tuan rumah dari USIM. Sebanyak 6 acara dipertandingkan pada kejohanan sehari ini iaitu Futsal lelaki dan wanita, bola jaring, bola tampar lelaki dan wanita, ping pong dan tenis.

Kejohanan yang menarik lebih 500 penyertaan dikalangan peserta dari fakulti pergigian seluruh negara ini merupakan salah satu medium untuk mengeratkan perhubungan yang sihat dikalangan pelajar fakulti pergigian. Ianya juga merupakan sebahagian dari usaha untuk melatih bakal doktor pergigian untuk berfikiran "think out of the mouth" yang mana tidak hanya tertumpu kepada bidang berkenaan tetapi juga boleh menjadi seorang bakal doktor yang dilabel tidak pasif selaras dengan moto fakulti pergigian USIM iaitu " Menjana Profesional Pergigian Yang Seimbang".

Kejohanan ini di sempurnakan oleh Y.Bhg Prof Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP & Alumni USIM di Pavilion Pusat Sukan USIM. Turut hadir Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman, Dekan Fakulti Pergigian USIM.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028