Program ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Kehormat Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia. Kem Harapan pada tahun ini merupakan Kem Harapan yang kedua yang berjaya dianjurkan oleh Yayasan Kanak-Kanak Malaysia selepas kejayaan Kem Harapan 2008 yang berlangsung di Kem Terendak Melaka dengan kerjasama Regimen 10 para dan Kementerian Pertahanan Malaysia. Didorong oleh kemanisan kejayaan Kem Harapan 2008, Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia sekali lagi menganjurkan Kem Harapan pada tahun ini.
Pada tahun ini, Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia bertuah kerana Kumpulan Sapura, sebuah Syarikat Konglomerat Utama negara telah bermurah hati menjadi penaja utama Kem Harapan ini dan sebagai kehormatan kepada Kumpulan Sapura Kem Harapan kali ini dinamakan sebagai KEM HARAPAN SAPURA.
Pengisian dan pengendalian program ini melibatkan pegawai dan pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi USIM terutamanya melalui penglibatan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) yang dinaungi oleh YAB Perdana Menteri sebagai pelaksana utama pengisian program ini. Program ini meliputi aktiviti ceramah, tazkirah, sukan dan sesi latihan dalam kumpulan dengan memfokuskan pembangunan sahsiah dalaman dan jati diri luaran peserta.
Antara objektif program ini adalah membangunkan potensi diri di kalangan para pelajar yang terlibat agar memiliki jati diri dan motivasi untuk mencari kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Di samping itu melahirkan generasi pewaris kepimpinan negara yang memiliki kesedaran tinggi akan tanggungjawab mereka kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Turut hadir, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Datin Yazreen Yahya.
Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028
No comments:
Post a Comment